Home » 2016 » May

Cabaran Besar Belia Pewaris Negara

Oleh Nik Mohd. Iznan Tuan Yaakub

PEMUDA harapan bangsa, pemudi tiang negara” merupakan ungkapan untuk menunjukkan belia sebagai agen terpenting dalam prospek pembangunan negara.

Populasi penduduk Malaysia semakin meningkat saban tahun daripada 10.9 juta pada tahun 1970 kepada 18.1 juta pada tahun 1990, seterusnya 28.3 juta pada tahun 2010 dan meningkat kepada 31 juta pada tahun 2015. Peningkatan jumlah penduduk turut menambahkan bilangan belia negara. Belia hari ini merupakan pemimpin masa hadapan. Belia hari ini merupakan pewaris negara yang akan memacu hala tuju negara secara holistik.

Oleh itu, usaha untuk memperkasakan belia merupakan wahana penting bagi menentukan masa hadapan negara supaya kekal cemerlang dan terbilang. Belia generasi Y pada hari ini, yang lahir antara tahun 1977 hingga 1997, merupakan generasi yang ingin bebas membuat keputusan sendiri tanpa belenggu orang lain. Mereka ingin bebas bersuara dalam menyatakan pendapat. Sikap keterbukaan begini kadang-kadang terlalu radikal sehingga membuatkan mereka tersilap dalam membuat tindakan sehingga menimbulkan pelbagai isu. Isu penyalahgunaan dadah, bohsia, samseng jalan raya, dan pergaulan bebas merupakan isu berulang selain isu baharu yang tiba-tiba muncul.

Malaysia memerlukan pelapis belia yang berwibawa, berwawasan, dan kompeten untuk terus memperkasakan negara merangkumi aspek ekonomi, politik dan sosial. Dalam bidang sains dan teknologi, Malaysia memerlukan teknokrat, doktor, ahli farmasi, jurutera, arkitek, dan saintis untuk terus meneroka kreativiti dan inovasi. Dalam bidang kepemimpinan, Malaysia memerlukan pemimpin pelapis yang berkebolehan untuk memacu negara ke puncak wawasan. Dalam bidang pendidikan, belia hari ini merupakan calon guru, pensyarah, dan penyelidik untuk terus membina jaringan pelajar yang cerdik dalam semua aspek. Keseimbangan pembinaan belia dengan pembangunan fizikal negara akan menjadikan Malaysia tidak mudah diganggu gugat oleh anasir luar. Jatuhnya belia hari ini merupakan permulaan titik gelap tamadun negara pada masa hadapan.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mei 2016)

 

 

 

 

Posted in: Fokus

Memperkasakan Belia Pewaris Negara

Oleh Samat Buang

PELBAGAI inisiatif pembangunan belia telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk menghargai dan menyerlahkan potensi golongan belia. Dari tahun ke tahun, kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak pernah gagal melaksanakan sambutan Hari Belia Negara pada 15 Mei. Kejayaan melaksanakan sambutan Hari Belia Negara ini menunjukkan bahawa kerajaan komited dan sentiasa meletakkan golongan belia sebagai aset penting negara.

Hari Belia Negara merupakan medan untuk setiap warga muda bermuhasabah dan memikirkan matlamat serta hala tuju yang ingin dicapai oleh mereka pada masa hadapan. Kerajaan sentiasa memikirkan pengisian bersepadu melalui dasar dan program yang dijalankan untuk menterjemahkan belia negara aset terbilang. Kesinambungan dan kejayaan masa hadapan negara bergantung pada belia hari ini.

Menurut Prof. Dr. Yusof Al Qaradhawi, sarjana dan pemikir Islam yang tersohor dan disegani masa ini, “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dalam kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang menjadi sebuah negara yang aman makmur, tetapi jika keadaan sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku.”

Sehubungan dengan itu, Datuk Seri Najib Tun Razak menekankan betapa pentingnya kerajaan berpegang pada beberapa aspek yang dinamakan sebagai pendekatan “6E” bagi memperkasakan golongan belia, sekali gus melahirkan golongan belia yang mampu berdikari, berwawasan, mempunyai jati diri yang jitu, serta dapat menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan. Menurutnya, pendekatan tersebut merangkumi enam aspek, iaitu pelibatan (engagement), pengupayaan (empowerment), pendidikan (education), keusahawanan (entrepreunership), perniagaan untuk masyarakat (social enterprise) dan pengalaman (experience). Pendekatan tersebut seiring dengan hala tuju Dasar Belia Malaysia (DBM).

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mei 2016)

Posted in: Fokus

Memugar Belia Harapan Bangsa

“BELIA Harapan Bangsa”, “Belia Hari Ini Pemimpin Hari esok”, “Belia Bersatu Negara Maju”, dan banyak lagi cogan kata yang telah dicipta dan dikhususkan secara langsung kepada golongan yang berstatus belia di negara ini. Hal ini dikatakan demikian kerana belia merupakan golongan yang paling dominan dan berpengaruh dalam masyarakat serta mempunyai ketahanan yang tinggi dari sudut fizikal dan mental.

Hari Belia pada setiap 15 Mei mengingatkan kita kepada kepentingan belia sebagai generasi pelapis yang mampu mengukuhkan negara pada suatu masa nanti. Di Malaysia, individu yang berusia antara 15 hingga 40 dikategorikan sebagai belia. Jumlah belia kini dianggarkan sebanyak 11.9 juta orang, iaitu 41.5 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini. Golongan belia di negara kita yang hampir mencecah dua per lima daripada penduduk Malaysia harus diberi keutamaan sebagai pewaris negara dan kelangsungan kemajuan negara yang sedang kita kecapi sekarang.

Tanpa golongan ini, pembangunan negara akan tempang apabila tiba masanya. Di tangan merekalah terletak tanggungjawab besar mempertahankan kemajuan negara dan memacu kecemerlangan negara pada masa akan datang. Negara memerlukan golongan muda yang  berjiwa besar untuk membawa negara ke peringkat baharu yang lebih gemilang. Dalam mana-mana zaman sekali pun, inilah keperluan yang paling tinggi, terutamanya Malaysia yang mahu mencapai status negara maju pada tahun 2020.

Pembangunan belia akan menghadapi banyak cabaran pada masa akan datang. Realiti yang berlaku kepada golongan belia hari ini ialah mereka wajar merancang untuk meningkatkan lagi kesejahteraan hidup pada masa depan. Bagi golongan belia yang sudah berada dalam masyarakat, mereka perlu mempunyai ketahanan diri untuk menempuh pelbagai pancaroba yang mengitari hidup, menolak ke tepi gejala negatif yang boleh merosakkan diri dan masa depan. Mereka mestilah menggunakan akal fikiran yang waras apabila berdepan dengan sesuatu situasi, agar tidak terpengaruh dengan gejala tidak sihat. Belia perlu diupayakan, dibangunkan, dan diterapkan dengan nilai akhlak, ailmu, kemahiran dan keusahawanan, serta semangat cinta akan negara. Sememangnya warga muda hari ini merupakan cerminan wajah negara akan datang. Selaras dengan itu, kepakaran belia perlulah dijanakan dengan baiknya.

Dalam memastikan belia pewaris negara terus relevan dalam konteks globalisasi, semua pihak harus berganding bahu dalam menghadapi cabaran zaman. Sudah tiba masanya untuk kita menamatkan segala label tidak sihat golongan belia yang sering dikaitkan dengan pelbagai masalah sosial. Lantaran itu, golongan belia digalakkan menceburkan diri dalam sebarang aktiviti yang dapat membentuk jati diri sebagai generasi muda yang baik serta melahirkan belia yang seimbang intelektual, serta pergaulan sosialnya bersama-sama masyarakat. Kesedaran perlu wujud dan berkembang sealiran dengan cita-cita pembinaan budaya bangsa ke arah kewujudan negara yang bermaruah dan mempunyai martabat yang tinggi. Tuntutan masyarakat dan global yang semakin canggih memeerlukan peranan yang rasional dan beridea segar daripada belia.

Haziah Che Husin

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mei 2016)

Posted in: Nota Editor

Anak Bertuah

Oleh Azharuddin Alias

UMI tahu tak, kakak dapat nombor 22 daripada 30 orang pelajar di dalam kelas? Dahlah kakak beajar dalam aliran Sains Tulen, kelas depan pula tu. Aduhai,” kata Zarif kepada umi.

“Betulkah kakak?” tanya umi. Ada nada kerisauan dalam kata-katanya. Kerisauan itu gambaran sikap seorang ibu yang bertanggungjawab.

Aku, yang tengah asyik menonton drama Korea, berpaling ke arah umi lalu menjawab; “Hmm, betul, umi. Kakak dah cuba melakukan usaha yang terbaik, tapi itu sajalah hasilnya.”

“Kakak kurang buat latihan dan ulang kaji pelajaran. Kakak mesti menumpukan perhatian semasa cikgu mengajar, barulah ilmu itu masuk. Bukankah sudah banyak kali umi cakap hal yang macam ini? Takkanlah umi nak cakap beribu-ribu kali lagi,” ujar umi.

“Kakak tu asyik tidur saja dalam kelas, umi. Hari itu adik tengok kakak tidur di dalam kelas waktu cikgu Sejarah mengajar,” kata Zarif lagi. Dia memang pandai mengadu, tetapi aduannya tepat dan berfakta. Zarif tidak melakukan fitnah pun. Dia bercakap jujur selalunya.

“Kakak tidur di dalam kelas? Bertuahnya anak umi,” kata umi dengan penuh kesal sambil memungut beberapa batang penyangkut baju yang bersepah di lantai.

“Kaka mengantuk sangat, umi. Fiza pun tidur juga. Menelaah,” katanya.

“Fiza dapat nombor dua di dalam kelas. Tak apalah dia tidur di dalam kelas pun. Dia dah pandai. Kakak sepatutnya berusaha lebih lagi. Inilah masa yang sesuai untuk kakak mengalahkan Fiza. Kakak akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini. Lakukan usaha yang terbaik. Pamerkan kesungguhan. Tumpukan perhatian. Jangan malas macam sekarang!” kata umi bertalu-talu seperti M-16 memuntahkan peluru ke arah ratusan musuh.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mei 2016)

Gen Mutasi Mengurangkan Tidur

Oleh Nor Azida Ishak

MANUSIA selalunya tidak berupaya menahan kesan mengantuk yang menimpanya sebagai akibat kekurangan tidur. Apabila tubuh hanya mendapat separuh daripada jumlah tidur yang diperlukan (kebanyakan manusia memerlukan tujuh hingga lapan jam tidur sehari), maka selalunya kita harus memaksa diri berjaga, minum kafein, atau menelan pil amfetamina. Namun begitu, kebergantungan pada kafein dan amfetamina sangat tidak digalakkan kerana boleh meninggalkan kesan, seperti sakit kepala, lesu, marah-marah, gementar, dan ketagihan teruk sebaik-baik sahaja kita berhenti mengambilnya. Oleh itu, apakah rahsia sesetengah manusia yang mampu berjaga lama dan hanya memerlukan tidur sekitar empat hingga enam jam sehari?

Dalam uji kaji yang dijalankan untuk 100 pasangan kembar, saintis dari Pusat Genom Gunaan di Philadelphia, Amerika Syarikat, menemukan seorang lelaki  yang mempunyai gen BHLHE41 jenis varian yang disebut sebagai p.Tyr362. Pemilik gen varian ini hanya tidur selama lima jam sehari, manakala kembarnya yang tidak memiliki gen itu memerlukan tidur selama tujuh jam sehari. Jika mereka tidak tidur dalam 24 jam, pemilik gen mutasi itu hanya memerlukan tidur selama lapan jam sahaja untuk menggantikan “hutang tidur”, manakala kembarnya memerlukan tidur yang lebih lama, yakni sembilan setengah jam. Gen mutasi p.Tyr262 ini turut diberi gelaran “Thatcher” sebagai penghargaan kepada Perdana Menteri Britain Margaret Thatcher yang terkenal dengan kebolehannya untuk tidur selama empat jam sehari sahaja.

Kumpulan saintis yang diketuai oleh Ying-Hui Fu dari Universiti California, San Francisco, pula mengkaji pasangan ibu dan anak yang tidak memerlukan tidur yang lama dalam sehari. Ibu dan anak ini mendakwa bahawa mereka tidak pernah tidur melebihi enam jam sehari. Kedua-dua mereka didapati berkongsi gen termutasi yang dinamai DEC2.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mei 2016)

KAMUS DEWAN: Barah, Jarah, Garah dan Karah

Oleh Munsyi Dewan

BARAH ialah terjemahan perkataan bahasa Inggeris cancer. Ejaan cancer telah disesuaikan menurut susuk ejaan dalam bahasa Melayu menjadi kanser. Hari ini istilah kanser lebih dominan penggunaannya berbanding barah.

Barah merujuk satu keadaan sel yang membesar secara luar kawalan. Dalam pengertian yang mudah, barah ialah bisul besar bernanah yang merupakan satu ketumbuhan berbahaya pada kulit atau pada tisu dalam tubuh. Barah payudara, barah hati, barah usus, dan barah otak adalah antara beberapa nama barah yang menyerang manusia. Penghidap barah yang tegar berisiko tinggi tidak berjaya dirawati.

Kata nama jarah bermaksud barang, harta dan lain-lain yang dirampas, terutama rampasan dalam peperangan. Peribahasa Melayu berbunyi “duduk meraut ranjau, berdiri mengintai jarah” bermaksud dalam setiap pekerjaan harus diingat faedah akan diri sendiri. Maksudnya, setiap pekerjaan yang dilakukan harus difikirkan ada juga hasil pulangannya untuk diri sendiri.

Pada suatu masa dahulu, orang Melayu sangat sensitif jika seseorang itu digelar penjarah. Walaupun penjarah itu ertinya perampas, bagi orang Melayu, pengertian penjarah lebih hebat daripada sekadar perbuatan merampas. Bagi orang Melayu, penjarah itu ialah manusia yang paling jahat, ganas yang kerja merompak secara kasar.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mei 2016)

Tamadun Islam Cordoba dan Granada di Sepanyol

Oleh Siti Raba’ah binti Hamzah

TAMADUN Islam di Sepanyol mencatat sejarah dalam rentetan perkembangan agama Islam dan sering menjadi rujukan umat Islam di seluruh dunia. Catatan sejarah ini telah menggamit penulis dan keluarga berkunjung ke Sepanyol selama lebih 10 hari bagi menyaksikan sendiri kesan peninggalan Islam di bumi ini.

Kegemilangan Islam di Sepanyol bermula pada sekitar tahun 711 hingga 1021 Masihi. Sepanyol terletak bersempadan dengan Maghribi di selatan, Portugal di kiri dan Perancis di utara. Sepanyol mempunyai jumlah penduduk hampir dua kali ganda berbanding dengan penduduk Malaysia.

Penulis bertolak ke Sepanyol dengan menggunakan penerbangan Qatar Air selama lebih 14 jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madrid melalui Doha. Madrid mempunyai penduduk lebih kurang 3 juta orang dan merupakan ibu negara Sepanyol. Sepanyol masih mengekalkan sistem beraja di samping kuasa eksekutif lain dalam pentadbiran negara. Berbelanja di Sepanyol menggunakan mata wang Euro yang mempunyai nilai yang lebih tinggi berbanding Ringgit Malaysia. Secawan minuman coklat panas berharga 3 hingga 4 Euro atau RM16.00.

Seawal pagi pada hari pertama menjejakkan kaki di Sepanyol, penulis mengunjungi stadium bola sepak Real Madrid atau lebih dikenali sebagai Santiago Bernabeu!” Stadium ini dapat memuatkan 80,000 penonton pada satu masa dan menjadi stadium tumpuan peminat bola sepak dunia. Teringat penulis pada awal tahun 2015, apabila adik penulis yang sedang belajar di salah sebuah universiti tempatan membuat sangkutan belajar di Universiti Surrey, London telah mengirim gambar “kejutan” stadium ini kepada penulis sekeluarga, dan pada hari ini penulis dapat berada di stadium ini!

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mei 2016)

 

Rahsia Ejaan Jawi

Oleh Aliza Minai Rajab, Arkib Negara Malaysia

TULISAN Jawi telah wujud sejak beratus-ratus tahun dahulu di kepulauan Melayu. Perkembangannya berhubung kait dengan ketibaan Islam, khususnya daripada orang Parsi. Abjad Arab yang diperkenalkan ini diubah suai agar sesuai dengan bahasa Melayu klasik lisan. Tulisan Jawi ditulis dari kanan ke kiri. Tinggalan tulisan Jawi purba yang terawal ditemukan pada Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303 M (702 H) dan juga Syair Bidasari tulisan sekitar 1300 – 1399M di Sumatera. Sementara penggunaan terawal abjad  Rumi untuk bahasa Melayu pula datang pada akhir abad ke-19.

Tulisan Jawi berkembang pesat sejajar dengan penyebaran Islam. Orang Melayu memandang tinggi tulisan Jawi sebagai gerbang kepada pemahaman Islam dan kitab suci al-Quran. Penggunaan tulisan Jawi merupakan faktor utama yang memangkinkan kebangkitan bahasa Melayu di samping penyebaran agama ISlam. Tulisan Jawi digunakan secara meluas di negeri kesultanan Melaka, Johor, Brunei, Sulu, Patani, dan Acheh seawal abad ke-15, untuk surat-menyurat diraja, titah perintah, puisi dan kaedah perhubungan utama sesama saudagar di pelabuhan Melaka.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mei 2016)

Posted in: Arkib Negara

Budaya Hidup Anak Muda Semakin Berubah

Oleh Asbah Razali

MODENISASI merupakan istilah yang digunakan bagi menunjukkan arus kemodenan yang dialami oelh masyarakat dunia. Cowgill mentakrifkan modenisasi sebagai transformasi masyarakat kepada teknologi dan mengubah pandangan tradisional ke arah kemajuan yang menekankan aspek kecekapan dan kemajuan individu dan anggota masyarakat. Modenisasi juga merupakan istilah yang digunakan bagi menunjukkan kemajuan atau kemodenan yang dialami oleh masyarakat dunia pada umumnya. Modenisasi merangkumi semua aspek dalam kehidupan manusia dan merupakan istilah yang digunakan untuk menunjukkan kemajuan atau proses perubahan. Namun begitu, arus kemodenan dunia hari ini bukan sahaja membawa perubahan kepada keanggihan teknologi, tetapi turut membawa perubahan budaya yang menjejaskan kehidupan terutamanya kepada golongan muda.

Sungguhpun modenisasi menghasilkan individu dan masyarakat yang berdaya saing dan maju, kesan yang tidak mampu dinilai dengan mata kasar kita juga tidak kurang hebatnya. Proses modenisasi tidak dapat dipisahkan daripada transformasi yang menyebabkan wujud dua budaya yang saling bercanggah. Keadaan ini berlaku kerana kemodenan menjadi salah satu platform yang mampu mengubah gaya hidup anak muda yang dahulunya bersifat tradisional kepada kehidupan yang lebih maju sehingga membawa krisis perkembangan dalam diri mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana adanya dua budaya yang saling bercanggah daripada budaya tradisi kepada budaya moden yang menyebabkan anak muda mula membentuk budaya dan dunia mereka sendiri.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mei 2016)

 

Posted in: Isu Semasa

Kurang Tidur Boleh Membawa Maut

Oleh Nusaibah Kaab

TIDUR merupakan aktiviti rutin dalam kehidupan satiap makhluk di dunia, khususnya kepada manusia. Tidur juga ibarat mesin pengecaj semula jadi kepada seseorang untuk bertenaga setelah seharian penat menjalankan pelbagai aktiviti. Namun begitu, sejak akhir-akhir ini, generasi Y ini semakin bercelaru waktu tidurnya. Yang lebih membimbangkan, ada segelintir golongan ini tidak melihat aktiviti tidur sebagai perkara yang baik kepad adiri mereka.

Tidur yang cukup pada waktu malam penting untuk memulihkan diri dan mengembalikan kecergasan fizikal dan mental kepada individu. Tempoh waktu tidur nyenyak pula perlulah serasi dengan jam biologi badan, iaitu sekurang-kurangnya dari pukul 11 malam hingga 2 pagi. Walau bagaimanapun, tidur yang berlebihan turut mengancam nyawa dan kesihatan seseorang.

Menurut penyelidik dari Barat, masalah tidur tidak teratur dan tidak cukup waktunya atau deprivasi tidur semakin meningkat, khususnya dalam kalangan remaja. Hal ini dibuktikan melalui kajian yang mendapati bahawa seorang daripada setiap lima orang responden berasa letih luar biasa dan seorang daripada 10 orang mengalami keletihan berpanjangan.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mei 2016)

Posted in: Remaja Cemerlang