Home » 2016 » July (Page 2)

Kemerosotan Kualiti Alam Sekitar

Oleh Nizar Parman

LAPORAN yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baaru-baaru ini mendapati lima daripada enam bandar yang dijadikan sampel kajian kualiti udara sihat telah melebihi had bacaan maksimum. WHO telah menetapkan bahawa had maksimum bagi kualiti udara sihat yang standard dalam bacaan tahunan ialah 20 mikrogram bagi setiap meter padu (ug/m3), manakala bagi habuk halus ialah 10 mikron (PM10). Sekiranya had bacaan melebihi standard kualiti udara yang ditetapkan, maka kualiti udara tersebut dianggap sebagai tidak sihat.

Berdasarkan cerapan WHO, lima buah bandar di negara kita yang dikategorikan sebagai tidak sihat ialah Senai (Johor), Kuching (Sarawak), Kuantan (Pahang), Bayan Lepas (Pulau Pinang) dan Petaling Jaya (Selangor). Statistik yang dikeluarkan oleh WHO ini bukan sahaja membimbangkan, malah boleh menggugat kestabilan status kualiti udara sekiranya langkah yang serius tidak segera diambil bagi mengatasinya.

Gangguan pada indeks kualiti udara bukan sahaja menjejaskan kesihatan penduduk negara ini, malah kegagalan meningkatkan kualiti kebersihan udara dikhuatiri akan menjadi punca kehilangan nyawa di negara ini. Laporan oleh organisasi itu juga mendedahkan bahawa kira-kira 11.6 peratus kematian di dunia berpunca daripada pencemaran udara.

Statistik yang dikeluarkan ini seharusnya mencetuskan kebimbangan dan kesedaran dalam kalangan masyarakat Malaysia. Apalah maknanya kita menjadi negara maju menjelang tahun 2020 sekiranya pada masa yang sama, kita mengabaikan kesejahteraan alam sekitar di negara ini? Dalam konteks ini, menuding jari kepada pihak tertentu bukanlah tindakan yang bijak. Sikap seperti yang dipaparkan dalam lirik lagu Bangau, Oh, Bangau perlu dikikis daripada terus menjadi barah dalam masyarakat.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Julai 2016)

 

 

Posted in: Fokus