Home » 2016 » August

Tidak Cukup Masa

Oleh Osman Affan

DALAM dunia motivasi dan teknik belajar berkesan, antara teknik belajar yang popular dan selalu dicari oleh banyak orang termasuklah teknik pengurusan masa berkesan. Sejak sekolah rendah hingga peringkat pengajian tinggi, pelajar sentiasa mendengar perihal kepentingan mengurus masa dengan baik dan berkesan.

Namun begitu, percaya atau tidak, walaupun topik ini sentiasa hangat dibincangkan dalam kalangan guru dan pelajar, tidak banyak orang sebenarnya yang tahu akan apa-apa yang terkandung dalam teknik pengurusan masa berkesan.

Satu perkara yang menarik, apabila penulis mengembara ke seluruh Malaysia dan bertemu dengan pelajar pada peringkat sekolah rendah hingga universiti, kebanyakan pelajar hanya mengaitkan teknik pengurusan masa dengan teknik membuat jadual harian. Maksudnya, jika ditanya kepada pelajar, “apakah yang mereka tahu tentang teknik pengurusan masa?”, mereka akan memberikan jawapan yang berkaitan dengan teknik membuat jadual harian.

Benar, jawapan itu tidak salah. Teknik membuat jadual harian merupakan sebahagian daripada teknik pengurusan masa yang berkesan. Namun begitu, pelajar sepatutnya mengetahui bahawa teknik pengurusan masa jauh lebih besar daripada teknik membuat jadual harian sahaja. Oleh itu, pada kali ini, mari kita membincangkan salah satu topik yang penting dalam teknik pengurusan masa. Topik ini merupakan aktiviti yang perlu diberi keutamaan.

 ***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Ogos 2016)

Posted in: Motivasi Diri

Pembelajaran Abad ke-21 Aktifkan Pelajar

Oleh Mohd Ali Salim

KINI dalam sistem pendidikan di Malaysia, telah dicanangkan pembelajaran abad ke-21. Hal ini bermakna amalan pembelajaran sebelumnya sudah ditinggalkan. Amalan baharu ini memberikan peluang yang luas terhadap penglibatan pelajar dalam aktiviti di bilik darjah. Pelajar, sebagai pelanggan utama dalam sistem pendidikan, diutamakan pencapaiannya dan keterlibatan mereka diambil cakna dengan harapan agar lahir warganegara yang berbudaya ilmu, pereka cipta, perpaduan, dan bekerjasama demi kemajuan negara.

Pembelajaran abad ke-21 menekankan kemahiran utama yang berguna kepada pelajar, sama ada dalam aktiviti pembelajaran ataupun kehidupan selepas alam persekolahan. Kemahiran itu ialah kemahiran kreatif. Kemahiran ini mampu menjadikan pelajar dan generasi baharu nanti lebih kreatif, berdikari, kritis, dan dapat bekerjasama dengan orang lain untuk membentuk kemajuan dalam pelbagai bidang. Kemahiran ini akan menuruti langkah mereka menempuh kehidupan sebenar dalam pendidikan lanjutan atau sebagai pekerja yang berkualiti dan berkemahiran.

Pembelajaran abad ke-21 lebih mengutamakan pelajar terlibat dalam pembelajaran. Oleh hal yang demikian, amalan biasa yang berlaku di bilik darjah, yang lebih berpusatkan guru sudah lapuk. Sebaliknya, aktiviti di bilik darjah lebih melibatkan pelajar dan bukannya dimonopoli oleh guru. Guru hanya sebagai fasilitator dan sumber rujukan. Aktiviti pembelajaran di bilik darjah hendaklah dirancang oleh guru dengan mengutamakan kreativiti dan kemahiran kritis oleh pelajar sendiri bagi mencapai tujuan dan objektif pembelajaran. Oleh itu, aktiviti guru berceramah dan menjadi tumpuan pelajar sepanjang masa pembelajaran bercanggah dengan amalan pembelajaran abad ke-21.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Ogos 2016)

Posted in: Isu Semasa

Suara Hati Menukil Puisi Dedikasi

Oleh Mahaya Mohd. Yassin

KITA tahu bahawa puisi ialah pengucapan suara hati yang santun dan menyentuh perasaan. Namun begitu, penghasilannya bukanlah semata-mata menurut emosi. Falsafah dan pendidikan kental teradun kemas dalam puisi dedikasi. Mengapa? Jawapannya mudah. Puisi dedikasi menghargai seseorang atau sesuatu. Oleh itu, pastilah nukilannya yang terindah dan terbaik serta benar-benar menggambarkan keikhlasan dan kesungguhan.

Puisi pada bulan ini membiaskan dedikasi yang ketara, walaupun hanya sebuah yang mengungkapkan kata “dedikasi”.

Sajak “Bahasa Merentas Masa” menyuarakan hasrat anak muda kepada golongan yang seangkatan dengannya. Penulis mencatatkan sejarah kegemilangan bahasa Melayu sebagai lingua franca sepelosok dunia. Malangnya, bahasa bertuhankan sekularisme sehingga teralpa nasib bangsa.

Oleh sebab itu, penulis menyeru, mari kita tegakkan bangsa, tegakkan bahasa ibunda kita walau bahasa merentas masa jangan biarkan tersadung di tengah kata.

Puisi ini didedikasikan kepada semua anak pascamerdeka, yang dianggap oleh penulis sebagai “perwira bangsa”. Selain itu, sesiapa pun yang cinta akan bahasa Melayu pasti akan turut terkesan kerana seruannya itu mengenai semua agar memelihara keutuhan bahasa kita. Bersempena dengan perayaan Hari Kebangsaan pada bulan Ogos ini, sajak ini amat sesuai dihayati dan diperjuangkan oleh semua.

Dari segi gubahan, penulis perlu berani mengolah ayat dan bait yang lebih mantap dan padat. Elakkan penggunaan kata yang sama, seperti kata “peragut” pada bait keempat.

Sajak dedikasi untuk ahli keluarga, “Lelaki”, sangat memikat. Bentuknya susunan juga berlainan, seolaolah menggambarkan “rahsia” dan liku kehidupan “lelaki” yang banyak berjasa dalam hidupnya.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Ogos 2016)

 

Posted in: Ulasan Puisi

Air Terjun Devil’s Kettle

Oleh Nor Azida Ishak

DI negeri Minnesota, Amerika Syarikat, berdekatan dengan sempadan Kanada dan Tasik Superior, terletaknya sebuah taman yang digelar Judge C.R. Magney State Park. Taman rekreasi terkenal itu diberi nama sedemikian kerana menghargai usaha gigih seorang insan yang banyak bertanggungjawab mendirikan taman dan kawasan rekreasi cantik di situ. Taman Judge C.R. Magney ini mempunyai hutan yang berkeluasan 4600 ekar di sepanjang bahagian utara Tasik Superior, manakala sungai yang mengalir di bahagian selatan tasik ialah Sungai Brule.

Sungai Brule mempunyai beberapa siri air terjun yang berketinggian sehingga 800 kaki. Salah satu air terjun yang sangat dikenali ialah Devil’s Kettle yang terletak lebih kurang 2.4 kilometer dari Tasik Superior. Pada puncak air terjun Devil’s Kettle, aliran air sungainya akan terbahagi kepada dua disebabkan oleh kedudukan batu jenis rhyolite (batuan gunung berapi bijian halus yang serupa dengan granit tetapi terbentuk daripada lahar). Separuh bahagian timur sungai itu mengalir dan jatuh ke dalam sebuah kolam yang terletak 50 kaki di bawahnya. Aliran air terjun itu akan terus mengalir ke bahagian selatan melalui Sungai Brule dan kemudian ke Tasik Superior.

Yang menarik pada Devil’s Kettle ini ialah di bahagian baratnya. Di situ air sungainya akan mengalir menuruni 10 kaki ke dalam pothole (lubang periuk) dan seterusnya akan hilang tanpa dapat dikesan. Misteri geologi ini menjadi tanda tanya kepada para pelawat dan saintis yang mengkaji fenomenanya.

Dalam istilah geologi, pothole merupakan lubang atau rongga di dasar sungai yang menyerupai satu lekukan berbentuk mangkuk bersisi curam pada mendapan hanyut glasier, tidak mempunyai saliran permukaan, dan biasanya mengandungi tasik atau paya. Istilah kettle juga sering digunakan untuk kawasan air terjun, yang airnya mencurah-curah bersama-sama pasir dan batuan yang dibawa akan menyebabkan lekukan pada batuan di bawah.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Ogos 2016)

 

Poskad kepada Diri

Oleh Nisah Haron

ANTARA kegilaan sesiapa sahaja yang mengembara ialah mencari cenderamata untuk dibawa pulang. Cenderamata boleh sahaja dalam pelbagai bentuk. Rantai kunci, magnet peti ais atau apa-apa sahaja yang kecil dan senang dibawa menjadi pilihan yang popular. Satu lagi cara untuk mengabadikan kenangan sewaktu mengembara ialah dengan membeli poskad.

Di tempat tumpuan pelancong, poskad amat mudah diperoleh. Lagipun, poskad ialah cenderamata yang termurah bergantung kepada jenis dan saiz. Sewaktu di Iowa City, penulis mengambil masa yang agak lama sebelum menemui tempat menjual poskad. Hal ini disebabkan bandar ini bukanlah bandar pelancongan. Poskad dijual di tempat tertentu sahaja. Memandangkan Iowa City sinonim dengan nama bandar kampus kerana di sinilah letaknya Universiti Iowa, mencari poskad bertemakan suasana kampus lebih mudah di kedai buku universiti, seperti Iowa Book.

Mungkin pada orang lain, poskad ditulis kepada mereka yang ditinggalkan. Poskad boleh sahaja dibeli untuk dibawa pulang. Hal ini memanglah tidak dinafikan, malah penulis sendiri melakukan hal sedemikian setiap kali berada di luar negara. Sewaktu berada di Amerika Syarikat, khususnya semasa di Iowa City, penulis mengirimkan tidak kurang 50 hingga 60 keping poskad kepada keluarga dan sahabat di tanah air. Kebanyakan kad ini bersempena ucapan terima kasih atas sokongan dan dorongan agar penulis dapat menyertai International Writing Program selama 10 minggu di Universiti Iowa.

Namun begitu, penulis akan sentiasa mengirim poskad kepada diri sendiri sekurang-kurangnya sekeping poskad dari mana-mana tempat yang dilawati. Mungkin perbuatan mengirim poskad kepada diri sendiri dilihat sebagai perbuatan yang pelik tetapi percayalah, apabila poskad itu tiba dalam peti surat kita akan berasa amat teruja. Apatah lagi, pada zaman ini, boleh dikatakan tiada sesiapa lagi yang mengirim surat atau kad secara pos. Amalan menghantar poskad kepada diri sendiri ini telah penulis lakukan lebih 10 tahun yang lalu. Walaupun poskad itu dikirimkan dari tempat di dalam negara, misalnya, Pulau Langkawi, Pulau Tioman atau negara jiran yang terhampir, Singapura.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Ogos 2016)

Posted in: Khas Travelog

Membudayakan Sukan dalam Masyarakat

Oleh Lokman Ismail

BERSUKAN, bersenam, atau beriadah merupakan keperluan setiap individu. Aktiviti sukan melahirkan individu yang sihat, harmoni, dan berinteraksi antara satu sama lain. Bersukan juga merupakan aktiviti masa senggang yang berfaedah.

Aktiviti bersukan bukan sekadar untuk menyertai pertandingan. Sesiapa sahaja perlu bersukan untuk kesihatan. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa aktiviti bersukan ditingkatkan dan disasarkan untuk menyertai pertandingan. Memang menjadi matlamat negara untuk melahirkan lebih banyak ahli sukan yang memenangi pingat atau anugerah pada peringkat antarabangsa.

Sejarah pertandingan sukan bermula sejak tamadun Yunani dan Greek beribu-ribu tahun yang lau, melibatkan sukan olahraga, berkuda dan permainan lain. Pertandingan sukan diadakan sebagai cara mengukur atau menentukan keperwiraan dan kecemerlangan hidup rakyat. Individu yang berjaya akan mendapat pengiktirafan dan penghormatan daripada masyarakat.

Kini terdapat beribu-ribu jenis permainan di seluruh dunia yang melibatkan pelbagai konsep, bentuk dan tujuan. Jenis sukan akan bertambah apabila permainan atau aktiviti baharu yang dimulakan oleh individu atau kumpulan tertentu mendapat perhatian banyak pihak.

Untuk menggalakkan lebih banyak individu dan pasukan menyertainya, maka permainan itu dijadikan sebagai sebahgian daripada acara yang dipertandingkan dalam acara sukan pada peringkat tempatan, negara, dan seterusnya antarabangsa.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Ogos 2016)

Posted in: Remaja Cemerlang

Tanggungjawab Mempertahankan Kedaulatan Negara

Oleh Mohd. Khairul Riza Tuan Mohd. Yusop

JIKA kita menyelak buku sejarah, kita akan ditemukan dengan sejarah perjuangan tokoh tempatan untuk menentang penjajahan. Penentangan terhadap penjajah ini dibahagikan kepada dua kategori. Kategori pertama ialah penentangan peringkat awal yang perjuangannya mengangkat senjata dan melahirkan pertempuran berdarah. Pada peringkat ini, pejuang tempatan menentang kemasukan penjajah Portugis (1511 – 1641), British (1824-1941) dan Jepun ( 1941-1945) yang sebahagiannya, pada asalnya, datang untuk berdagang, namun pentadbiran negara sekali gus membawa misi imperialisme dan kolonalisme. Pada zaman ini, lahirlah pejuang seperti Mat Kilau, Tok Gajah, Dato’ Maharajalela, Mat Saleh, dan Tuk Janggut. Kategori kedua pula ialah perjuangan menuntut kemerdekaan melalui semangat nasionalisme atau kebangsaan. Berlakunya kemunculan golongan cerdik pandai dan intelektual yang mahu membebaskan negara ini daripada cengkaman penjajahan.

Apakah tujuannya tokoh ini berjuang? Jawapannya ialah mereka berjuang kerana mahu membebaskan diri dan negara daripada belenggu penjajah. Mereka mahu negara ini menjadi negara yang berdaulat dan diri mereka menjadi individu bebas tanpa ada “ikatan” dan “paksaan” daripada orang lain. Menurut J.H.A. Logemann, kedaulatan negara bererti kekuasaan mutlak atau kekuasaan tertinggi penduduk dan wilayah bumi berserta isinya yang dipunyai oleh sistem negara nasional yang berdaulat. Perkataan kedaulatan juga bermaksud kuasa tertinggi yang dimiliki oleh negara. Dalam bahasa Arab, secara harfiahnya, kedaulatan berasal daripada kata “daulah” yang bererti kekuasaan.

Apabila mengimbau sejarah lampau, kita tahu betapa peritnya pejuang kemerdekaan mahu memerdekakan negara ini daripada penjajahan dan sekali gus menjadikan Malaysia sebagai negara yang berdaulat. Namun begitu, sejauh manakah kita sebagai generasi masa ini dapat bertanggungjawab untuk mempertahankan kedaulatan negara? Tepuk dada tanya selera. Benarlah ada pendapat yang mengatakan bahawa menjaga kedaulatan negara itu lebih susah berbanding dengan mendapatkannya.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Ogos 2016)

Posted in: Fokus

Kosong Pengetahuan Semangat Patriotisme

Oleh Nik Mohd. Iznan Tuan Yaakub

NASIONALISME dan patriotisme membawa konotasi yang berbeza. Nasionalisme lebih kepada konsep membebaskan negara atau ekonomi daripada cengkaman kuasa asing. Patriotisme pula berasal daripada  perkataan patriot, iaitu mencintai negara serta sanggup mempertahankannya. Kamus Dewan Edisi Keempat menyatakan bahawa patriot bermaksud orang yang mencintai dan mempertahankan kedaulatan negaranya. Perjuangan Dol Said, Dato’ Maharajalela, Tuk Janggut, Tuk Gajah, Mat Kilau, Haji Abdul Rahman Limbong, Rosli Dhoby, Mat Salleh, dan Datuk Bahaman merupakan cetusan semangat nasionalisme dan patriotisme yang sangat kukuh dalam diri. Selepas Tanah Melayu diisytiharkan merdeka pada 31 Ogos 1957, tugas mempertahankan dan mengekalkan kedaulatan negara seharusnya menjadi tanggungjawab setiap rakyat.

Amatlah malang sekiranya selepas 59 tahun mencapai kemerdekaan, pengetahuan tentang semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia masih kosong. Sesetengah masyarakat kini hanya mengetahui 31 Ogos sebagai Hari Kebangsaan, manakala 16 September pula hanya sekadar Hari Malaysia. Tidak banyak remaja dan golongan muda yang faham dan cuba meresapi apa-apa falsafah di sebalik tarikh keramat ini. Yang lebih menyayat hati, mereka hanya tahu bahawa dua tarikh ini sekadar hari cuti umum. Pengetahuan semangat patriotisme bukan sekadar pengzahiran secara luaran, sebaliknya perlu didukung dengan aspek minda, jiwa dan emosi.

Semangat patriotisme perlu terus diterapkan dalam kalangan rakyat Malaysia supaya sejarah hitam negara tidak berulang. Kehebatan negara maju dunia, seperti Amerika Syarikat, Jepun, Perancis dan China, terletak pada semangat patriotisme yang tinggi dalam diri rakyatnya. Biro Tatanegara  (BTN) pernah menjalankan kajian  terhadap 1200 orang responden untuk mengukur indeks patriotisme. Dapatan kajian mendapati bahawa skor yang diperoleh sangat rendah, iaitu purata 3.8. Walaupun bilangan responden belum tentu boleh mewakili seluruh rakyat Malaysia, dapatan kajian ini sudah pasti sangat memeranjatkan sedangkan Indeks Patriotisme Negara sangat penting untuk mengukur perasaan cinta akan tanah air.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Ogos 2016)

Posted in: Fokus

Sejahtera Negara dan Rakyat Malaysia

MENJELANG bulan merdeka, empunya premis akan membongkar almari, membuka semula kotak lama, mencari semula bendera tahun-tahun sebelumnya untuk digunakan semula bagi mengimarahkan lagi bulan mengingati pembebasan negara daripada kuasa yang mendominasi. Maka, akan cantiklah deretan kedai dengan kibaran bendera yang garang warnanya, malah rumah juga akan turut serta menaikkan bendera setinggi yang mungkin untuk sama-sama menyambut merdeka. Namun begitu, adakah tingginya bendera yang dijulang menggunakan batang kayu itu dapat diukur dengan pemahaman isi rumah terhadap pengetahuan semangat nasionalisme? Adakah penjulang yang menaikkan bendera di deretan kedai itu memahami semangat yang terkandung dalam jeritan merdeka mereka saban tahun?

Menyambut bulan kemerdekaan bukan sekadar sambutan kemerdekaan, tetapi mengisi kemerdekaan itu jauh lebih penting. Yang lebih penting lagi, generasi muda memahami erti sebenar kemerdekaan yang diperjuangkan dengan susah payah. Kemerdekaan bukanlah takdir semata-mata, tetapi kemerdekaan terhasil daripada usaha pejuang dan pemimpin terdahulu.

Jika pejuang dahulu bangkit berjuang, generasi muda hari ini pula disarankan untuk memahami bahawa kemerdekaan bukan bebas daripada cengkaman penjajah semata-mata, malah kebebasan minda daripada terpengaruh dengan anasir luar yang mahu melihat berlakunya perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Kemerdekaan telah mengangkat maruah dan kedaulatan negara. Kemerdekaan ialah sesuatu yang tidak boleh dijual beli. Keselamatan, maruah, dan kedaulatan negara bukan sahaja dipikul oleh anggota keselamatan, tetapi turut dipikul bersama-sama oleh seluruh rakyat.

Pada tahun ini, “Sehati Sejiwa” dipilih menjadi tema hari kebangsaan seperti tahun sebelumnya yang mencerminkan roh kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat Malaysia. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, marilah kita bersama-sama menjaga maruah serta kedaulatan negara. Sematkan juga dalam diri semangat cinta akan negara serta sentiasa menjaga dan menjulang nama baik Malaysia walau di mana-mana kita berada. Jangan sesekali membiarkan diri kita kosong dengan semangat patriotisme.

Walau apa-apa pun ideologi politik yang dijunjung, walau apa-apa sahaja bangsa dan agama yang kita anuti, negara kita tetap tanggungjawab bersama. Jangan sesekali memusnahkan negara tercinta. Untuk membina negara memerlukan puluhan tahun lamanya, namun untuk memusnahkannya cukup sekadar sekelip mata. Untuk memajukan negara amatlah sukar, namun untuk membinasakannya amatlah mudah.

Hargailah keamanan dan kemakmuran yang telah kita kecapi. Pelajari dan fahami sejarah kerana melalui sejarahlah kita akan benar-benar menghargai negara dan kemerdekaan negara. Jelmakan kembali semangat perjuangan pemimpin terdahulu. Bersatulah kita dengan semangat kemerdekaan melalui cara pemikiran bijaksana dan minda kelas pertama untuk masa hadapan yang lebih cemerlang dan terbilang. Inilah nikmat yang perlu sentiasa ada dalam diri setiap warganegara.

Jadilah warga Malaysia yang merdeka. Hayatilah erti kemerdekaan dan kekalkan kemerdekaan ini.

Selamat Hari Kebangsaan 2016.

Haziah Che Husin

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Ogos 2016)

Posted in: Nota Editor