Home » 2016 » September (Page 2)

Lukisan Alam Musim Gugur

Oleh Nisah Haron

BENARLAH kata Albert Camus, “Autumn is a spring when every leaf is a flower.” Antara kelebihan berada di negara empat musim termasuklah peluang menyaksikan daun bertukar warna pada musim luruh. Alam menjadi lukisan dan setiap helaian daun sedang diwarnakan satu demi satu. Penulis suka bertanya kepada warga tempatan, musim apakah yang menjadi kegemaran? Mereka sukar memilih antara musim bunga dengan musim gugur.

Bagi penulis, inilah pengalaman pertama berada di luar negara pada musim gugur. Peluang ini dinikmati sepenuhnya kerana International Writing Program di Iowa city dijalankan sepanjang September hingga November. Pokok yang pada mulanya hijau perlahan-lahan berubah menjadi warna yang tersendiri. Pohon mapel menjadi merah, pohon ginkgo menjadi kuning, dan daun pohon oak menjadi perang dan keriting. Suasana menjadi semakin nyaman dan suhu perlahan-lahan menurun pada setiap hari.

Pada ketika ini, banyak orang yang suka berada di luar rumah untuk menikmati pemandangan indah dan hawa yang menenangkan. Penulis sering berbasikal ke kawasan City Park menyaksikan tupai liar serta tupai tanah (chipmunk) semakin pantas dan ripuh mengumpul kekacang oak (yang disebut acorn) sebagai persediaan musim sejuk beberapa bulan lagi. Sesuai dengan cuaca di sini yang lebih dingin, keadaan fizikal tupai di sini lebih besar daripada tupai biasa di Malaysia serta bulunya lebih gebu. Walaupun bentuknya lebih gempal, tupai ini masih dapat melompat dengan pantasnya dari satu pokok ke pokok yang lain, berlari-lari di atas padang tanpa menghiraukan kehadiran manusia yang banyak di kampus. Masing-masing telah belajar untuk hidup bersama-sama di sini.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa September 2016)

Posted in: Khas Travelog