Home » 2017 » March

PUSARAN MEMORI PILU

Oleh   Bahtiar Omar

 Berita sedih mangsa lemas melalui televisyen itu membuatkannya terpaku sehingga biskut yang dikunyah masih berkumpul di rongga mulut. Dia menelannya perlahan-lahan, namun terasa berketul-ketul melalui kerongkong yang seakan-akan tersumbat. Dia terbatuk kerananya. Ayah yang berada di situ hanya memerhatikan Rizar terkesima tidak keruan. Anaknya itu dilihatnya sedih memendam perasaan. Keadaan itu difahami oleh Haji Kamarul.

 “Riz sudah bersiap untuk temu ramah esok?”

 “Dah, ayah. Esok Riz pergi dengan Faiz, Syamer dan Cikgu Shiqin.”

 “Baguslah, ayah berdoa semoga Riz berjaya. Jangan lupa membawa alat perakam suara itu.”

          Haji Kamarul menyambung bacaan buku di tangannya. Pada masa yang sama, dia turut menumpang dengar berita daripada televisyen di hadapannya, lagipun berita itu boleh diketahui kembali melalui talian internet daripada telefon bimbitnya. Dia juga duduk berehat sebelum menyambung talaqi al-Quran bersama-sama seorang ustaz yang datang ke rumah sebanyak dua kali seminggu. Ibu pula sibuk di dapur.

          Rizar meminta izin untuk masuk ke dalam biliknya. Di dalam bilik itu, dia melihat beberapa gambar dan maklumat daripada keratan akhbar yang disusun di bawah cermin meja. Dia menelitinya. Air matanya bergenang, teringat akan saat cemas yang pernah dihadapi. Ingatannya tentang peristiwa itu masih kukuh. Kehilangan teman rapat masih terasa. Iktibar kejadian menyemarakkan iltizam anak remaja ini membaiki diri.

***

(rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2017)

Pengurusan Kewangan Remaja

Oleh   Noraziah Mohd Amin

Sebelum manusia mula mengenal wang dan nilainya, aktiviti ekonomi masyarakat terdahulu dilakukan dengan menggunakan sistem barter, iaitu sistem pertukaran barang. Setelah wang diperkenalkan, manusia mula melakukan urusan jual beli dengan berpandukan konsep harga dan nilai wang bagi melaksanakan pertukaran hak milik sesuatu barang itu daripada penjual kepada pembeli. Pada masa ini, kehidupan manusia dipermudah dengan adanya objek yang dicipta daripada kertas atau logam yang digelar “wang” dan tidak mustahil juga wang dapat menjadikan masyarakat begitu sengsara sehingga ada yang dikategorikan sebagai muflis. Remaja, sebagai golongan yang baru berjinak-jinak untuk belajar mengurus perbelanjaan sendiri, harus mengambil langkah yang bijak dan pengendalian kewangan yang cekap dapat menjanjikan pelbagai kebaikan kepada mereka.

          Berita Harian (6 Disember 2016), dalam laporannya yang bertajuk “Kadar Muflis Golongan Muda di Malaysia Merisaukan”, memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azaddin Ngah Tahir, yang menyebut bahawa terdapat sebanyak 1157 kes kebankrapan yang melibatkan golongan di bawah umur 25 tahun yang direkodkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia. Azaddin menyatakan bahawa faktor utama yang menjadikan mereka muflis ialah ketidakcekapan mengurus kewangan sendiri yang didorong oleh kegagalan perancangan kewangan yang baik dan kurangnya pendidikan mengenai hal ini. Menurut Azaddin juga, kajian yang dijalankan oleh Asian Institute of Finance (AIF) mendapati bahawa remaja memiliki tahap pendidikan kewangan yang rendah kerana hanya 28 peratus daripada golongan ini yang berasa yakin untuk mengendalikan pengurusan kewangan selain 58 peratus yang mendakwa bahawa mereka mempunyai pengetahuan kewangan yang sederhana. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa maklumat yang tepat tentang pengurusan kewangan yang berkesan yang dimiliki oleh remaja dapat membimbing mereka untuk tidak melakukan aktiviti kewangan yang berisiko untuk menjadikan mereka berstatus “muflis” yang boleh mendatangkan banyak masalah pada kemudian hari.

***

(rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2017)

Posted in: Fokus

Kewangan Remaja: Berbelanja atau Menyimpan?

Oleh   Noor Azam Abdul Rahman

Berbelanja atau menyimpan? Dua perkara ini perlu diberi perhatian oleh setiap remaja apabila berbincang tentang kewangan. Pada usia semuda remaja ini, perkara yang menyentuh soal kewangan merupakan perkara yang mencabar. Pada peringkat ini, pengurusan kewangan bagi remaja berkisar pada perkara yang berkaitan dengan kehendak melebihi daripada keperluan. Hal ini berlaku kerana pada kebiasaannya, keperluan remaja telah pun disediakan oleh ibu bapa atau penjaga masing-masing. Sumber pendapatan remaja juga masih terhad, sama ada daripada wang perbelanjaan yang disediakan oleh ibu bapa atau penjaga ataupun daripada sumber biasiswa atau pinjaman pendidikan, jika mereka yang masih di bangku persekolahan atau di pusat pengajian tinggi.

          Selain itu, terdapat juga remaja yang telah pun terlibat dalam sektor pekerjaan seawal usia belasan tahun, iaitu setelah tamat sahaja persekolahan. Golongan ini mampu menjanakan pendapatan mereka secara sendiri, namun kebijaksanaan dalam pengurusan kewangan sendiri ini lebih berisiko daripada remaja yang lain. Oleh itu, pengetahuan yang baik tentang ilmu pengurusan kewangan perlu dipelajari.

          Pengurusan kewangan dalam konteks remaja dapat dibahagikan kepada beberapa kumpulan berdasarkan sumber pendapatan masing-masing. Pembahagian ini penting kerana setiap remaja mempunyai cara serta kecenderungan yang berbeza ketika membuat keputusan, sama ada berbelanja ataupun menyimpan hasil pendapatan mereka itu. Kecenderungan ketika membuat keputusan tentang kewangan remaja ini bergantung pada kedudukan remaja pada masa tersebut, sama ada sebagai pelajar di sekolah atau di institusi pengajian tinggi ataupun pekerja atau penganggur, dan mungkin juga sebagai anak yang berehat sahaja di rumah ibu bapa. Perbezaan ini mempengaruhi cara remaja tersebut membuat keputusan tentang kewangan mereka.

          Bagi remaja yang masih di bangku persekolahan dan di institusi pengajian tinggi (IPT), misalnya, sumber pendapatan mereka sangat terhad. Sumber utamanya daripada wang saku yang disediakan oleh ibu bapa atau penjaga; mungkin juga biasiswa yang disediakan oleh kerajaan atau institusi tertentu. Keperluan remaja ini, pada kebiasaannya, telah disediakan oleh ibu bapa atau penjaga masing-masing. Hal ini bermaksud  beban perbelanjaan daripada hasil pendapatan bagi kumpulan remaja yang masih belajar ini lebih sederhana berbanding dengan kawan mereka yang bekerja.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2017)

Posted in: Fokus

Biarlah Salah Sekarang

Oleh Osman Affan

 Kesilapan lalu, jika dibetulkan, mampu menjadi panduan kepada kehidupan sekarang dan pemangkin kejayaan pada masa akan datang.~Osman Affan~

 Sebagai pelajar, adakah anda biasa berhadapan dengan masalah takut melakukan kesilapan? Pernahkah anda takut melakukan sebarang kesalahan sehingga anda tidak mahu berbuat apa-apa? Sebagai contoh, apabila guru anda bertanya di hadapan kelas, pernahkah anda tidak mahu menjawab kerana takut salah sedangkan anda rasa bahawa anda mengetahui jawapan tersebut?

          Masalah takut membuat salah ini sangat biasa dalam kalangan pelajar, terutamanya dalam kalangan pelajar cemerlang. Bagi pelajar ini, daripada salah, lebih baik diam dan tidak berbuat apa-apa. Sekurang-kurangnya, tidak berbuat apa-apa dapat menyelamatkan diri daripada malu apabila salah atau dimarahi apabila melakukan kesilapan. Namun begitu, benarkah dengan tidak melakukan kesalahan, pelajar akan menjadi lebih berjaya dalam kehidupan? Sudah tentu tidak!

          Percaya atau tidak, melakukan kesalahan atau kesilapan ialah sebahagian besar daripada proses mempelajari sesuatu. Sebagai buktinya, bayangkan kanak-kanak kecil yang baru mahu belajar berjalan. Adakah mereka pada satu pagi sewaktu bangun tidur, terus berdiri, berjalan dan terus berlari? Tidak, bukan? Jika kita perhatikan, kanak-kanak kecil yang baru belajar berjalan akan melakukan banyak kesalahan dan kesilapan yang membuatkan mereka terduduk, terjatuh, dan kadang-kadang tersungkur.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2017)

Posted in: Motivasi Diri

Hari Ini Dalam Sejarah (HIDS)

Oleh   Nurzuliana Kamaruzaman, Arkib Negara Malaysia

Pernahkah anda mendengar atau menonton rancangan “Hari Ini Dalam Sejarah”? Tahukah anda bahawa rancangan“Hari Ini Dalam Sejarah” telah bersiaran sejak tahun 1979 di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM)? Rancangan “Hari Ini Dalam Sejarah” juga dikenali dengan singkatan “HIDS”. Rancangan hebat ini julung kali diterbitkan melalui pandangan sejarawan negara yang menjadi wadah untuk mendidik dan menjadikan masyarakat celik sejarah, seterusnya menghargainya. Selain  memberikan maklumat kepada orang ramai tentang sejarah tanah air, program ini juga bertujuan untuk membawa kesedaran terhadap kepentingan sejarah dalam kehidupan masyarakat. Arkib Negara bersama-sama RTM bertanggungjawab untuk menerbitkan rancangan yang menyingkap kembali segala peristiwa bersejarah tanah air melalui rancangan ini.

          Rancangan HIDS lahir daripada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Persatuan Sejarah Malaysia pada 23 Julai 1979. RTM mengemukakan permintaan Menteri Penerangan, Dato’ Mohamad Rahmat, supaya Persatuan Sejarah Malaysia bersama-sama RTM menerbitkan rancangan yang mengandungi peristiwa sejarah tanah air untuk disiarkan melalui TV Malaysia. Jawatankuasa ini bersetuju menyerahkan perkara ini kepada kajian Arkib Negara melalui satu projek perintis. Berikutan itu, Arkib Negara menyediakan memorandum mengenai rancangan tersebut yang mencadangkan supaya rancangan ini disiarkan pada setiap hari mengenai peristiwa bersejarah yang berlaku pada hari berkenaan.

          Pada 19 September 1979, jawatankuasa kecil dilantik yang dianggotai oleh wakil RTM, Muzium Negara, Filem Negara, Jabatan Penerangan, dan Lembaga Peperiksaan bagi memastikan program ini berjalan dengan lancar dan berkesan. Jawatankuasa kecil ini juga memberikan kerjasama kepada Arkib Negara yang menjalankan peranan untuk mencari peristiwa sejarah yang dipilih dan menyediakan skrip, Filem Negara dan Jabatan Penerangan untuk mendapatkan ilustrasi, dan RTM pula menyediakan kerja merakamkan dan menerbitkan rancangan ini. Walau bagaimanapun, kini kerjasama bagi menghasilkan dan meneruskan rancangan HIDS ini dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada Arkib Negara dan RTM.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2017)

Posted in: Arkib Negara

Melakar Impian

Oleh   Nur Shafiqa Zailani

Rafhanah menguak tingkap biliknya luas untuk menjemput masuk kehadiran angin pagi yang membelai lembut kulitnya. Dia memejamkan kelopak matanya sebentar untuk menikmati kesegaran bayu yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Indahnya terasa berada di sebuah desa sebegini yang tidak dicemari oleh “tangan” rakus dalam merencanakan pembangunan yang pesat serta akhirnya membawa pencemaran alam dan pemanasan global yang agak serius pada masa ini. Ucapan jutaan syukur dipanjatkan kepada Allah kerana masih membenarkannya bernafas dalam udara yang masih segar dan menyamankan di desa tempat kelahirannya ini. Dia kemudian berteleku sebentar di meja bacaannya yang hampir reput dimamah anai-anai.

          “Alangkah indahnya jika angan-angan boleh bertukar menjadi realiti,” fikirnya. Dia gadis genit yang punya impian, namun sering diperlekehkan oleh masyarakat di sekitarnya, bahkan ibunya sendiri. Rafhanah ingin menjadi pereka kasut setaraf idolanya, Jimmy Choo, dan akhirnya berjaya menghasilkan jenama kasutnya sendiri suatu masa nanti. Dia gemar menghasilkan lakaran rekaan kasut dan mengumpulkannya untuk menjadi portfolio. Siapa tahu akan ada pihak yang berminat terhadap semua lakarannya itu nanti? Tuah di badan tiada sesiapa yang tahu?

          Namun begitu, yang menyedihkan tangkai hatinya ialah ibunya sendiri meragui bidang kerjaya seperti itu yang menurutnya tidak dapat memberikan gaji yang tetap berbanding dengan profesion seperti doktor atau jurutera. Hal ini berbeza daripada ayahnya yang sentiasa yakin dengan bakat terpendam yang dimilikinya dan tidak jemu memberikan dorongan serta kata semangat kepadanya agar berjaya mencapai impiannya menjadi pereka kasut yang terkenal pada masa depan.

          “Ibu kurang bersetuju dengan pilihan yang Hana inginkan itu,” suara ibu sedikit keras menyuarakan pendapatnya pada suatu malam.

***

(Rencana ini dipetik daaripada majalah Dewan Siswa Mac 2017)

Beringat-ingat Dahulu, Bersenang-senang Kemudian

Tidak dinafikan bahawa wang merupakan medium yang sangat penting dalam kehidupan harian kita. Namun demikian, kesilapan ketika mengurus wang akan mengundang padah kepada diri, terutamanya remaja. Golongan remaja seharusnya bijak ketika mengurus kewangan mereka untuk kesenangan pada kemudian hari. Kita sering kali akur tentang kepentingan mengurus kewangan dengan bijaknya kerana setiap daripada kita mempunyai sumber kewangan yang terhad. Namun begitu, disiplin diri harus diutamakan bagi memastikan setiap perancangan kewangan yang dibuat dapat dilaksanakan.

          Banyak masalah berlaku dalam masyarakat kerana wang. Amalan dan pengurusan kewangan yang betul seharusnya dilaksanakan oleh remaja agar masalah tidak berlaku pada kemudian hari. Perbelanjaan tidak sepatutnya melebihi pendapatan. Simpanan atau tabungan perlu dibuat dalam kehidupan harian. Aktiviti menyimpan bukan sahaja dilakukan dalam bentuk simpanan wang ringgit semata-mata, malahan boleh juga dalam bentuk pelaburan jangka panjang, seperti pelaburan dalam saham amanah atau hartanah.

          Ilmu pengurusan kewangan perlu dipelajari oleh golongan remaja. Kebanyakan daripada remaja mungkin masih belajar dan belum bekerja tetap. Maka, secara umumnya, mereka masih belum terdedah kepada pelbagai bentuk skim pinjaman atau pelaburan sedia ada. Namun begitu, mereka tetap akan dapat memanfaatkan ilmu pengurusan kewangan untuk kehidupan masa ini atau apabila dewasa kelak, khususnya dari sudut kelangsungan proses pendidikan mereka.

          Remaja yang bijak akan memikirkan masa hadapan pendidikan mereka kerana pendidikan mampu membawa mereka keluar daripada kancah kejahilan dan kemiskinan kepada tahap kehidupan yang lebih baik. Maka, remaja yang bijak akan berusaha menyimpan wang sedikit sebanyak yang termampu agar dapat menampung kos pendidikan peringkat tinggi mereka pada masa depan. Tambahan pula, unjuran kos pengajian peringkat tinggi dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa, di samping persaingan yang lebih sengit dalam permohonan biasiswa.

          Dari semasa ke semasa, remaja bakal memperoleh wang, sama ada daripada ibu bapa atau penjaga, melalui pekerjaan, bersempena dengan hari perayaan, pemberian biasiswa pelajaran, ataupun apa-apa jua sumber yang diharapkan halal dan berkat. Sebagai remaja, sememangnya terdapat kecenderungan untuk mereka membelanjakan wang yang dimiliki demi memenuhi keperluan atau kemahuan diri, apatah lagi dengan lambakan barangan jualan, sama ada di pusat beli-belah ataupun di alam maya. Oleh itu, dengan wang yang ada, remaja mempunyai pilihan untuk membelanjakannya atau menyimpannya. Maka, perkara yang perlu diberi perhatian oleh remaja ialah membuat keputusan yang bijak terhadap kewangan mereka.        

          Panduan menjayakan perancangan kewangan ialah setiap kali mempunyai duit berlebihan, jadikannya sebagai bahagian wang yang hendak disimpan atau mewujudkan akaun khas untuk simpanan. Hadkan penggunaan kad kredit, jika ada, daripada berbelanja secara berlebihan. Rancang kewangan dengan telitinya sebelum berbelanja. Elakkan berbelanja melebihi pendapatan. Tabungan khas untuk kecemasan juga perlu disediakan.

          Sebagai kesimpulannya, hal yang penting ialah pengurusan kewangan bijak merupakan amalan yang perlu ada pada setiap daripada kita, bermula seawal usia kanak-kanak, remaja sehingga dewasa. Remaja, khususnya, harus bijak merancang perbelanjaan sendiri demi memastikan keadaan kewangan masa depan yang kukuh. Pilihan terletak di tangan remaja, sama ada mengurus kewangan secara cekap dan kurang berisiko ataupun terperangkap dengan godaan perbelanjaan tanpa mengikut kemampuan diri. Remaja yang berjaya merancang kewangan yang baik semasa tempoh usia mudanya akan menjadi orang dewasa yang berjaya pada usia dewasanya nanti, seperti kata pepatah beringat-ingat dahulu, bersenang-senang kemudian.

Oleh Norsuhaila Ibrahim

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2017)

Posted in: Nota Editor