Home » 2017 » April

Andai Mawar Mekar Semula

Oleh   Siti Norelysah Ahmad

Aku melangkah tenang sambil mata meliar melihat suasana di sekelilingku. Dengan lengkap berpakaian putih bersama-sama tag “JURURAWAT”, aku sudah berazam untuk menjalankan tanggungjawab ini dengan sebaik-baik mungkin. Sepanjang lima bulan aku ditempatkan di Hospital Sinar Bahagia bersama-sama pesakit yang mempunyai masalah jiwa, aku cuba membantu mereka untuk meneruskan kehidupan. Perjalananku masih diteruskan sehingga ketua jururawat menghentikan langkahnya di sebuah bilik.

          “Najiha, awak ditugaskan untuk menjaga pesakit ini. Jika ada masalah, terus berjumpa dengan saya. Selamat bertugas,” ketua jururawat berkata demikian bersama-sama senyuman kepadaku. Aku hanya mengangguk.

          Aku melihat nama pesakit tersebut di hadapan pintu biliknya, “Alif Akmal”. Aku melangkah masuk ke dalam bilik tersebut dengan perlahan-lahannya. Aku memberikan salam sebagai tanda hormat namun, tiada sebarang sahutan. Aku melihat keadaan bilik tersebut agak bersepah dan suasananya suram. Aku mengambil langkah untuk membuka langsir supaya cahaya dapat menerangi bilik tersebut.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2017)

ANAK TANPA WATAN

Oleh   Salina Ibrahim

 SUDAH dua hari berturut-turut Zafar ke pusara ibunya selepas solat zuhur di masjid. Mula-mula saya fikir, hal itu hanya kebetulan kerana dia berjemaah di sana. Namun demikian, pada hari berikutnya, apabila saya mendengar dia meminta izin abang hendak ke masjid pada pukul tiga petang yang bukan lagi waktu solat berjemaah, spontan saya terfikir, “Mungkinkah dia hendak ke kubur ibunya lagi? Ke sanalah agaknya. Dia terganggu sedikit beberapa hari ini, sejak televisyen dan surat khabar banyak bercerita tentang Rohingya.”

Hal ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana sudah beberapa kali berulang. Mungkin dia pergi mengadu sesuatu kepada ibunya. Ibunya wanita Rakhine yang tubuhnya sudah lama bersemadi di tanah perkuburan di belakang masjid kampung kami.

Menungan Zafar agak larut beberapa hari. Tiada sesiapa dalam kalangan kami yang menegur. Bukan tidak berani tetapi barangkali tidak endah. Mungkin kami sebenarnya tidak begitu memahami perasaan dia.

Pada petang itu, saya melihat dia begitu asyik memerhatikan sekumpulan murid, tentu sahaja dari sekolah di hadapan kedai kami itu, membeli kuih. Kerana menyedari tajam mata saya, dia kemudian berpura-pura sibuk mengelap meja. Selepas itu, dia bergegas ke singki membawa pinggan yang ditinggalkan oleh pelanggan yang baru beredar.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2017)

Pulau Pinang Syurga Makanan dan Idaman Percutian Keluarga

Oleh Nur Faidah Mohamad Arif

Pulau Pinang seindah namanya dan juga kepelbagaian makanan yang terdapat di negeri ini. Negeri yang bersih dan penuh bersejarah ini sering menggamit hati dan sanubari pelancong. Penulis juga tidak ketinggalan menjejakkan kaki di negeri yang turut mendapat jolokan “syurga makanan” suatu ketika dahulu kerana variasi menu dan keenakan rasanya yang tiada tolok bandingnya dengan tempat lain. Selain makanannya yang sedap, terdapat banyak tempat menarik di Pulau Pinang yang boleh dikunjungi sama ada bersama-sama keluarga tersayang ataupun rakan.

Pulau Pinang terletak di pantai barat laut Semenanjung Malaysia bersempadan dengan Kedah di utara dan timur, dan Perak di selatan. Georgetown ditubuhkan oleh British pada tahun 1786, merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO dan destinasi pelancongan yang berkembang maju. Berdasarkan pengalaman dan kunjungan rakan penulis terdahulu, negeri ini sentiasa menjadi tumpuan dan buah mulut pengunjung, termasuk pelancong dari luar negara. Dari tempat yang indah untuk mengabadikan kenangan bersama-sama keluarga, terus kepada makanan yang penuh bercita rasa tinggi, namun boleh didapati dengan harga yang berpatutan, dan rakyatnya yang begitu peramah dan bersopan santun dalam tingkah lakunya menyebabkan negeri ini menjadi tumpuan pelancong.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2017)

Sukan Bukan Sekadar Riadah

Oleh   Alias Ismail

APABILA sebahagian daripada ahli masyarakat, sama ada pelajar, belia, ibu bapa, kakitangan kerajaan, kakitangan swasta, ataupun orang awam, ditanya tentang prospek bidang sukan di negara ini, rata-rata mereka memberikan jawapan yang cukup meyakinkan. Yang amat menggembirakan penulis, mereka percaya bahawa pada masa ini, sukan tidak lagi boleh dilihat sebagai kegiatan riadah sebagaimana yang berlaku pada tahun 1970-an dan 1980-an.

          Dengan perkataan yang lain, mereka percaya bahawa bidang sukan mampu menjanakan pulangan yang lumayan. Hal itu dapat dicapai sekiranya sukan diceburi secara serius. Impian itu bukanlah perkara yang tidak mampu direalisasikan, sebagaimana yang dibuktikan empat orang atlet paralimpik negara yang pulang dari Rio de Janeiro dengan tiga pingat emas dan satu pingat gangsa.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2017)

Posted in: Fokus

Sukan Wahana Perpaduan Kaum

 

Oleh   Samat Buang

Sukan merupakan saluran yang paling berkesan bagi menyatukan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Aktiviti sukan sudah dilihat sebati dalam kalangan rakyat negara ini sejak kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Dalam acara sukan, atlet yang terdiri daripada pelbagai kaum bekerjasama untuk mencapai satu matlamat, iaitu memberikan kejayaan kepada pasukan, negeri atau negara diwakili. Bagi mencapai matlamat itu, soal perbezaan keturunan tidak langsung diambil kira kerana masing-masing mahu memastikan pasukan yang diwakili mencapai kejayaan. Tidak kira dalam apa-apa jua sukan, kerjasama dan hubungan akrab akan lahir apabila pemain daripada semua kaum dan etnik bertungkus-lumus dan bekerjasama menyahut cabaran sebagai satu pasukan. Walau bagaimanapun bukan setakat dalam kalangan atlet, peminat setia mana-mana sukan turut memberikan sokongan padu tanpa mengira bangsa. Dengan kata lain, sukan mampu menjadi wahana dan wadah yang dapat mengintegrasikan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2017)

Posted in: Fokus

Remaja Aktif Bersukan

Oleh Norsuhaila Ibrahim

Sukan ialah segala kegiatan yang memerlukan kemahiran atau ketangkasan serta tenaga yang dilakukan sama ada sebagai acara pertandingan, hiburan ataupun untuk mengisi masa lapang dan beriadah. Contoh aktiviti sukan yang agak popular pada masa ini ialah olahraga, renang, bola sepak, tenis, badminton dan skuasy. Tahukah anda bahawa memanah merupakan acara yang telah pun bermula sejak 20,000 tahun yang lalu. Fakta ini menunjukkan bahawa kegiatan sukan telah menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia sejak bermulanya tamadun awal dunia.

          Inisiatif untuk memupuk minat masyarakat terhadap kegiatan bersukan ini harus bermula dari bangku sekolah lagi, khususnya dari peringkat remaja. Ibu bapa turut bertanggungjawab dalam usaha membentuk peribadi anak yang gemar bersukan sejak dari peringkat rebung lagi. Ibu bapa juga perlu mendorong dan menggalakkan anak mereka untuk menyertai kegiatan bersukan di sekolah. Di samping itu, ibu bapa perlu menjadi teladan kepada anak dengan membawa keluarga untuk melakukan aktiviti riadah pada hujung minggu agar anak memandang kegiatan bersukan itu sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka.

          Banyak faedah yang diperoleh remaja sekiranya mereka aktif bersukan. Faedah bersukan yang utama ialah dapat mendisiplinkan diri. Hal ini dikatakan demikian kerana individu yang ingin berjaya dalam bidang sukan mesti mempunyai disiplin yang tinggi dan dapat mengawal diri untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. Oleh itu, secara tidak langsung sukan turut membentuk disiplin diri remaja. Sukan juga penting bagi melahirkan remaja yang sihat, sama ada dari segi fizikal ataupun mental. Dengan kegiatan bersukan, remaja boleh membina tubuh badan yang sihat, cergas dan menarik. Hal ini dikatakan demikian kerana bersukan boleh menguatkan otot dan tulang serta menyihatkan badan dengan membakar lemak berlebihan dalam badan. Oleh itu, remaja yang aktif bersukan jarang-jarang mendapat demam dan selesema berbanding dengan rakan yang tidak bersukan          Kegiatan bersukan bukan sahaja baik untuk kesihatan, malah sesuai dijadikan hobi dan boleh dilakukan dengan kawan atau keluarga pada setiap pagi, petang atau hujung minggu. Dengan mengisi masa lapang melalui kegiatan sukan, remaja bukan sahaja dapat meningkatkan tahap kesihatan diri, malah mengelakkan diri daripada membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah, seperti bergayut berjam-jam lamanya di telefon, melepak di pusat beli-belah atau kafe siber, dan berbual dalam talian sepanjang masa. Bukan itu sahaja, remaja juga dapat menghindari masalah sosial, seperti merokok, penyalahgunaan dadah, lumba haram dan pergaulan bebas, yang kian meruncing dalam kalangan remaja belakangan ini. Oleh hal yang demikian, kegiatan bersukan bukan sahaja dapat dijadikan aktiviti masa lapang serta hobi, malah sebagai cara menyokong usaha kerajaan memerangi masalah keruntuhan akhlak remaja hari ini. Seterusnya, kegiatan bersukan juga penting untuk menyemai semangat permuafakatan dan kesukanan dalam kalangan remaja yang berbeza latar belakang. Hal ini dikatakan demikian kerana semua jenis sukan memerlukan pemainnya untuk berinteraksi antara satu sama lain yang boleh memupuk persefahaman dan menjalin ikatan silaturahim.

          Dewasa ini, kita dapat menyaksikan banyak orang yang telah menceburi bidang sukan pilihan mereka untuk dijadikan platform membina kerjaya. Sukan bukan sekadar riadah semata-mata kerana sukan juga merupakan bidang yang mampu menjanakan pulangan yang lumayan. Hal itu dapat dicapai sekiranya sukan diceburi secara serius. Impian itu bukanlah perkara yang tidak mampu direalisasikan sebagaimana yang dibuktikan oleh empat atlet paralimpik negara kita yang pulang dari Rio de Janeiro dengan tiga pingat emas dan satu pingat gangsa. Selain itu, sukan merupakan saluran paling berkesan bagi menyatukan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Aktiviti sukan sudah dilihat sebati dalam kalangan rakyat negara ini sejak kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Dalam acara sukan, atlet yang terdiri daripada pelbagai kaum bekerjasama untuk mencapai satu matlamat, iaitu memberikan kejayaan kepada pasukan, negeri atau negara yang diwakilinya.

          Kegiatan bersukan penting bagi mendisiplinkan diri, membentuk gaya hidup sihat, menghindari masalah sosial remaja, membangunkan potensi dalam diri remaja, menyemai semangat permuafakatan dan kesukanan dalam kalangan remaja yang berbeza latar belakang, menjadi platform membina kerjaya, dan menjadi saluran paling berkesan bagi menyatukan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Namun begitu, kebaikan dan kepentingan kegiatan bersukan yang telah dinyatakan sebelum ini tidak membawa erti apa-apa sekiranya tiada orang yang meminati sukan dan permainan. Walaupun terdapat segelintir remaja yang tidak meminati sukan dan tidak melibatkan diri dengan kegiatan kokurikulum, usaha untuk menarik minat golongan ini haruslah kekal berterusan, bak kata pepatah, “genggam bara api biar sampai jadi arang”. Jadikanlah kegiatan bersukan itu sebahagian daripada kehidupan kita.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2017)

Posted in: Nota Editor