Tenang Menghadapi Peperiksaan

Home » Akademik » Cetusan Pendapat » Tenang Menghadapi Peperiksaan

Oleh Farah Alia Suraya Azman

PEPERIKSAAN merupakan suatu kaedah paling berkesan untuk menilai prestasi, tahap kecerdasan berfikir juga hasil yang dapat dirumuskan setelah pelajar melalui pembelajaran yang panjang. Keputusan peperiksaan dinilai berdasarkan banyaknya usaha dan daya juang pelajar dalam mendalami ilmu, memahami seterusnya mengadaptasi ilmu tersebut. Kebanyakan pelajar yang cemerlang terserlah kerana hasil usaha dan kerajinan mereka sendiri, juga sokongan orang di sekeliling sebagai pemangkin semangat.

Setiap kali musim peperiksaan besar biasanya pelajar akan menghadapi stres, begitu juga para ibu bapa. Ibu bapa digalakkan mengambil langkah awal dengan memberikan sokongan dan nasihat serta menghantar anak-anak ke pusat tuisyen supaya mereka boleh memahami pelajaran yang sukar difahami.

Terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan dalam menangani stres ketika menghadapi peperiksaan. Sebenarnya getaran minda ibu bapa dapat dirasai anak-anak. Ibu bapa disarankan tidak mengangkong pergerakan mereka sebaliknya memberi ruang agar mereka mengulang kaji pada waktu yang sesuai dengan cara yang mereka gemari. Doa ibu bapa amatlah mustajab, mengerjakan solat hajat dan membaca al-Quran dapat menenangkan jiwa anak. Ibu bapa perlu memperbanyakkan amalan bersedekah dan membuat kerja kebajikan kerana mpaknya akan dirasai oleh anak-anak.

Jika kita sering berdampingan dengan anak sewaktu di rumah, mereka dapat mengulang kaji dengan baik kerana ada sokongan ibu bapa. Perkataan dan nasihat positif seperti jangan lalai, jangan kelam kabut, berdoa dahulu, jawab dengan tenang dan cermat serta berselawat kepada nabi adalah kata-kata yang mendamaikan si anak malah mendorongnya membuat yang terbaik. Restu ibu bapa dan para guru merupakan motivasi pencetus kejayaan mereka.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Disember 2015)

 

Hantar Maklum Balas