Perkembangan dan Kemajuan Awal Kuala Lumpur

Home » Jati Diri » Arkib Negara » Perkembangan dan Kemajuan Awal Kuala Lumpur

Oleh Wan Mohd Rahimi Rahim

KUALA LUMPUR asalnya merupakan sebuah tapak yang berhutan paya, yang akhirnya berkembang menjadi sebuah bandar yang maju dari pelbagai sektor. Era kegemilangannya Kuala Lumpur hanya pada tahun 1880-an, apabila muncul sebagai ibu negeri Selangor, iaitu apabila British memindahkan pusat pentadbirannya dari Kelang pada Mac 1880.

“Kuala berlumpur” merupakan nama atau maksudnya bagi Kuala Lumpur yang terletak di antara Sungai Gombak dan Sungai Kelang. Sejarah asal kepada terbentuknya Kuala Lumpur bermula apabila sebuah kawasan perlombongan bijih timah di Lembah Klang dibuka oleh Raja Abdullah. Beliau dibantu oleh Raja Jumaat dari Lukut dan pelombong Cina. Sejak itu Kuala Lumpur berkembang. Lombong banyak dibuka disebabkan hasil buminya. Lombong ini kemudiannya berkembang menjadi sebuah kawasan perdagangan yang semakin diterima sebagai bandar sempadan.

Kuala Lumpur yang pada asalnya merupakan sebuah kawasan yang kecil telah berkembang menjadi sebuah bandar yang pesat. Hal ini berlaku kerana jumlah penduduknya semakin bertambah dari semasa ke semasa. Pertambahan jumlah penduduk ini membawa kepada bertambahnya juga jumlah rumah dan petempatan yang dibina secara berdekatan. Keadaan ini dinamakan kawasan setinggan. Migrasi penduduk ke Kuala Lumpur ini disebabkan aktiviti mencari pekerjaan yang banyak terdapat di kawasan ini yang bertujuan meningkatkan taraf ekonomi mereka. Perkembangan penduduk yang menekan dan padat ini dianggarkan seramai 2272 orang untuk satu batu persegi pada tahun 1895 dan jumlah ini seterusnya meningkat kepada 2909 orang untuk satu batu persegi pada tahun 1901.

Menjelang Perang Dunia Pertama, penduduk di Kuala Lumpur telah mencecah seramai 58 000 orang. Pertambahan penduduk yang pesat ini membawa kepada perkembangan bandar Kuala Lumpur. Kepadatan penduduk yang tinggi ini menyebabkan permintaan yang tinggi terhadap keperluan bekalan makanan. Hal ini mendorong pembukaan kawasan pertanian di lembah Ampang dan Setapak.

Pada mulanya Kuala Lumpur tidak berkembang pesat disebabkan beberapa faktor seperti bentuk muka bumi yang tidak rata dan berpaya. Keadaan ini menjadi lebih buruk lagi apabila Perang Saudara yang tercetus akibat daripada persengketaan putera Selangor ke atas keuntungan perlombongan bijih timah yang telah meragut banyak nyawa. Namun begitu, keadaan ini tidak menghalang kepada perkembangan pesatnya apabila Yap Ah Loy pada ketika itu diberi tanggungjawab oleh British untuk membangunkan Kuala Lumpur yang telah musnah akibat Perang Saudara tersebut. Yap Ah Loy merupakan kapitan Cina berketurunan Hakka ketiga dan berada di Kuala Lumpur antara tahun 1868 hingga 1885. Beliau yang datang ke Tanah Melayu dari China mula mengusahakan kegiatan ekonomi perlombongan di Kuala Lumpur.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Disember 2015)

Hantar Maklum Balas