Awalan meN- dan peN-

Home » Akademik » Cintai Bahasa Kita » Awalan meN- dan peN-

Oleh Muhammed Salehudin Aman (Munsyi Dewan)

AWALAN meN- dan peN- merupakan antara imbuhan yang amat tinggi kehadirannya dalam ayat bahasa Melayu.

Apakah maksud huruf N pada kedua-dua awalan tersebut? Maksud huruf N pada kedua-dua awalan ini ialah bentuk nasal. Misalnya mem-, men-, dan meng-, seperti dalam perkataan membawa, mencari dan mengaum.

Awalan meN- menjadi me- apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan, antara lain, huruf-huruf l seperti dalam perkataan melanggar, dengan huruf r seperti dalam perkataan meramal, huruf w seperti dalam perkataan mewangikan. Seterusnya dengan huruf y seperti dalam perkataan meyakinkan, huruf ny seperti dalam perkataan menyanyi, dan huruf ng seperti dalam perkataan menganga.

Awalan meN- menjadi mem- pula apabila bergabung dengan perkataan yang bermula dengan huruf b dan v. Misalnya membaca dan memveto. Demikian juga halnya dengan bentuk lain, iaitu men-, dan meng-.

Kehadiran bentuk-bentuk nasal ini bergantung pada jenis konsonan pertama dalam kata dasar. Pada amnya, daerah artikulasi huruf pertama dalam kata dasar akan menentukan bahawa nasal yang hadir itu sama daerah artikulasinya. Sebagai contoh, jika kata dasar bermula dengan huruf d, iaitu bunyi letupan gusi, maka nasal yang akan digunakan juga merupakan nasal gusi, iaitu n, menjadikan awalan itu men-.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2015)

Hantar Maklum Balas