Keseimbangan Kesihatan Mental dan Fizikal

Home » Fokus » Keseimbangan Kesihatan Mental dan Fizikal

 

Oleh Noraziah Mohd Amin

“MAK, ayah, jaga diri baik-baik.” Begitulah terjemahan nota berbahasa Mandarin yang ditulis oleh seorang pelajar sebuah kolej di Pulau Pinang sebelum terjun dari tingkat 18 Bangunan UMNO di Jalan Macalister, Pulau Pinang untuk membunuh diri. Dia dikatakan membuat tindakan tragik itu akibat tekanan peperiksaan yang dihadapinya. Tidak dapat dibayangkan perasaan ibu bapa dan ahli keluarga yang lain apabila mendapati anak yang diharapkan akan berjaya menempuhi segala “halangan akademik” sehingga ke alam pekerjaan telah mencabut nyawa sendiri dan tewas di pertengahan jalan dalam usaha menempa kejayaan hidup.

Dewasa ini, terdapat begitu banyak kes bunuh diri melibatkan pelajar yang tertekan ketika menghadapi peperiksaan seolah-olah nilai nyawa mereka begitu murah sekali. Selain masalah akademik, aspek hubungan sesama manusia dan masalah kewangan turut menjadi faktor yang mendorong tindakan bunuh diri dalam kalangan remaja.

Akhbar Sinar Harian pernah melaporkan kejadian bunuh diri oleh seorang remaja, Muzaffarabadi Ishak yang menggantung dirinya dengan tali yang diikat pada palang kayu rumah yang didiami bersama-sama ahli keluarganya selepas meninggalkan nota terakhir pada resit bank yang antaranya menyebut tentang hubungannya dengan rakannya, masalah kewangan dan perasaan pelik yang dihadapinya pada hari kejadian.

Tindakan membunuh diri sering kali dikaitkan dengan keadaan mental dan psikologi seseorang yang menggunakan jalan pintas sebegini bagi “melarikan diri” daripada sebarang masalah yang dihadapinya. Oleh itu, masyarakat perlu sentiasa peka dengan tahap kesihatan mental remaja dan mengenal pasti simptom sakit mental yang dipamerkan mereka bagi membendung sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku.

(Petikan ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Disember 2015)

 

 

 

Hantar Maklum Balas