Tetamu Tuan Putin

Home » Nukilan Kreatif » Cerpen untuk Siswa » Tetamu Tuan Putin

Oleh Alias Ismail

SATU

SUKAR untuk aku katakan bahawa sekarang aku betul-betul berada di persimpangan fikiran. Kenapakah aku berkeadaan sedemikian? Begini kisahnya; aku tidak pasti ada atau tidak orang mahu percaya akan kata-kataku. Sebenarnya, ketika catatan persoalan ini kupahatkan dalam sebuah diari nipis yang kusam, aku baru sahaja beberapa minit habis berkomunikasi dua pasang bola mata dengan seorang lelaki kacak tinggi lampai, berkulit cerah, dan berambut sederhana pendek perang keemasan.

Kata lelaki berbibir nipis itu, dia merentas benua dan menyelak tabir bahasa ke sini semata-mata mahu menemuiku atas gesaan ketuanya – Tuan Putin. Aku tergamam sejurus. Beberapa perkara melintasi fikiran. Dalam ketergamamamku, dia melantunkan pertanyaan yang lebih kurang begini bunyinya “Tahu siapa Tuan Putin?”

Sudah tentulah aku hanya mampu membungkam dengan mata tidak berkelip. Kerana aku diam sahaja, dia meneruskan bicaranya. Kata lelaki itu, Tuan Putin ialah Vladimir Putin. Aku terus diam. Pelanjutan katanya menyebabkan mulutku terkunci. Aku memandang langit fajar sambil melihat bulan pucat yang tersangkut di dahan awan.

Kini, perihal siapa pemilik nama Vladimir Putin menjadi fokus fikiran. Aku tahu siapa orang itu. Vladimir Putin suatu nama besar pada mata dunia. Beliau berkuasa; lebih tepat lagi “sang penguasa!” Kerana beliau orang hebatlah, maka kini aku berada pada persimpangan fikiran. Ini faktanya – aku dikunjungi wakil Tuan Putin pagi tadi dalam beberapa tempoh yang tidak terjangka dan kami baru selesai berkomunikasi.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Disember 2015)

Hantar Maklum Balas