Pintu ke Neraka

Home » Saintifik » Misteri Dalam Sains » Pintu ke Neraka

Oleh Nor Azida Ishak

DI sebuah perkampungan kecil bernama Darvaza yang terletak lebih kurang 260 kilometer dari utara Ashgabat, ibu negeri Turkmenistan, terdapat sebuah fenomena menakjubkan yang digelar dalam kalangan penduduk tempatan sebagai “Pintu ke Neraka” (Door to Hell). Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat sebuah kawah yang telah melahirkan api yang marak menyala bermula sejak 44 tahun yang lampau, dan menariknya, kawah ini masih lagi terbakar tanpa henti sehingga hari ini.

Bagaimanakah kejadian ini berlaku? Pada tahun 1971, sekumpulan ahli geologi Soviet telah menjelajah ke sekitar Gurun Karakum untuk emncari kawasan yang mempunyai takungan minyak di bawah tanah. Kerja penggerudian bermula apabila mereka menemui sebuah kawasan medan minyak yang luas. Malang sekali, tapak itu berkedudukan di atas lohong gas asli bawah tanah yang sangat dalam, dan tanah di situ tidak mampu untuk menampung berat peralatan mereka. Tapak itu runtuh dan menelan bersama-sama kesemua peralatan penggalian mereka, dan pada masa yang sama turut mencetuskan runtuhan kecil di kawasan berdekatan.

Maka, terciptalah kawah-kawah baharu di Gurun Karakum akibat kejadian itu. Kawah Darvaza atau dikenali “Pintu ke Neraka” itu bersaiz paling besar dengan ukuran sekitar 225 kaki (69 meter) lebar dan 65 kaki (30 meter) dalam. Tiada sesiapa yang cedera semasa kejadian itu berlaku. Namun begitu, bahaya bermula apabila gas asli terbebas dari lohong itu. Gas asli mengandungi unsur bahan metana yang tdiak toksik, namun gas asli ini mudah menggantikan oksigen dalam udara sehingga menyebabkan manusia dna ahiwan berdekatan Gurun Karakum sukar bernafas, malah boleh menyebabkan kematian. Gas asli juga sangat berbahaya kerana keupayaan boleh bakarnya dengan kehadiran metana sebanyak 5 peratus dalam udara boleh menyebabkan letupan besar berlaku.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Disember 2015)

Hantar Maklum Balas