Wanita Islam Wellington

Home » Libur dan Rekreasi » Rakaman Pengembara » Wanita Islam Wellington

Oleh Mawar Safei

MENYAMBUNG kisah perjalanan melihat anak-anak di Wellington, menginap bersama masyarakat setempat khusus di daerah perbukitan Johnsonville, mengizinkan penulis mengenali Muslimah negara ini dengan lebih akrab. Penulis menginap di rumah seorang warga asal Singapura, Hayati Osman, ibu tunggal dengan dua orang anak lelakinya. Suaminya, warga Britain meninggal dunia tahun lalu. Kebetulan minggu pertama penulis di rumahnya, dan berkelapangan daripada menghadiri kuliah di kampus Victoria  University of  Wellington, diadakan majlis taklim di rumah Hayati. Hari Rabu menjelang pukul 10 pagi, seorang demi seorang ahli kumpulan taklim mengetuk pintu dengan membawa pinggan juadah di tangan masing-masing. Ada yang membawa salad, kari ikan, sambal tumis telur lengkap dengan puding dan kek; sedang Hayati sendiri menyediakan rendang ayam. Suasana di luar rumah berkabus kadangkala tebal dibawa angin dingin. Namun begitu, semua yang masuk ke ruang tamu rumah di perbukitan ini, membawa seribu kehangatan persaudaraan Islam. Hal ini sangat dapat penulis rasakan.

Lebih kurang 15 orang Muslimah yang hadir majoritinya bangsa Melayu Malaysia dan Singapura, ada juga dari Cambodia dan Fiji. Majlis dimulakan dengan bacaan surah ar-Rahman dan al-Waqiah oleh setiap ahli. Semasa bacaan, masing-masing akan memperbetulkan sebutan atau hukum tajwid. Kazidah Moh. Shah, warga asal Tanjung Karang, Selangor, selaku ketua kumpulan tadarus, menyambung kuliah tentang sirah Rasulullah. Penulis melihat mereka yang hadir dengan pakaian tebal menahan kesejukan musim luruh, masih dapat menumpukan perhatian terhadap kisah Rasulullah dan penulis dapat rasakan betapa mereka rindu akan Nabi Muhammad.

Pengalaman bertemu Muslimah Wellington yang lebih merentas batas bangsa adalah di Masjid Kilbirnie pada Ahad pertama penulis di bumi Kiwi. Sebaik tiba di masjid, penulis ke ruang mengaji al-Quran anak-anak  yang dikendalikan secara sukarela oleh Muslimah sendiri. Sekilas penglihatan penulis di ruang khas Muslimah, terdapat pelbagai warganegara dan warna kulit. Penulis sempat mengenali beberapa orang pelajar universiti tempatan dari Malaysia dan Indonesia. Di sebuah penjuru lain ada deretan gerai jualan pakaian, perhiasan wanita dan makanan ringan. Menurut Hayati, kami akan pulang sebaik-baik menikmati jamuan ringan dan solat zohor secara berjemaah.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Disember 2015).

 

Hantar Maklum Balas