Logik Fikiran Bantu Buat Keputusan

Home » Khas » Isu Semasa » Logik Fikiran Bantu Buat Keputusan

Oleh Lokman Ismail

ORGAN  penting dalam diri manusia ialah otak. Otak berada dalam dua bentuk yakni secara fizikal yang dinamakan otak dan secara rohani dinamakan minda, akal atau fikiran. Otak dalam bentuk fizikal tiada bezanya dengan apa-apa yang dimiliki oleh haiwan yang berperanan untuk mengkoordinasi fungsi organ badan dan tindak balas spontan berdasarkan kebiasaan.

Bezanya otak manusia berbanding haiwan ialah akal. Melalui akal, manusia mampu menerima segala ilmu yang berbentuk teori serta mampu untuk menyusun idea. Akal dalam bentuk ini merupakan asas utama kepada fikiran manusia. Lantaran itu, akal yang bersifat positif jika digunakan untuk kebaikan akan menjadikan seseorang itu mulia dan berjaya dalam apa jua perkara yang ingin dilakukan.

Sebaliknya, akal yang membawa manusia kepada keburukan akan meletakkan manusia lebih hina berbanding haiwan. Kesesatan manusia disebabkan mereka menggunakan akal yang diarahkan untuk tujuan negatif akan menyebabkan mereka biansa dan hina. Mereka berfikir bagaimana ingin melakukan perkara yang mendatangkan keburukan kepada diri sendiri dilakukan tanpa sedar atau kerana terpengaruh ajakan kawan sehingga tidak dapat melepaskan diri daripada perbuatan itu.

Terdapat falsafah atau seni berfikir yang dinamakan logik atau dikenali dalam kalangan ilmuwan Islam sebagai mantik. Kaedah berfikir secara logik telah muncul sejak kurun ke-5 Sebelum Masihi di Yunani. Antara tokoh awal ilmu logik termasuklah Socrates, Plato, dan Aristotles. Kaedah pemikiran logik pada ketika itu banyak digunakan dalam seni bahas dan pidato, selain mencari penyelesaian isu dan keperluan semasa. Aristotles terkenal sebagai “Bapa Logik” yang menjadikan beliau ahli falsafah terkenal sehingga sekarang. Beliau merupakan orang pertama yang membentangkan cara berfikir yang teratur dalam suatu sistem.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Disember 2015)                              

Hantar Maklum Balas