KAMUS DEWAN – Kendong Kendung

Home » Akademik » Cintai Bahasa Kita » KAMUS DEWAN – Kendong Kendung

Oleh Munsyi Dewan

KENDONG dan kendung, dua perkataan yang hampir sebunyi (homofon). Perbezaan bunyi kedua-duanya terletak pada kelainan huruf vokal yang menjadi penanda sebutan suku kata akhir tertutup perkataan yang berkenaan, iaitu perbezaan bunyi vokal “u” dengan vokal “o”, serta “e” taling dengan “e” pepet. Suku kata pertama dan kedua perkataan kendong ditandai oleh vokal “e” taling dan vokal “o”, manakala perkataan kendung pula bunyi suku katanya ditandai oleh huruf vokal “e” pepet dan vokal “u”.

Menurut sistem keselarasan vokal bahasa Melayu, jika huruf vokal dalam suku kata praakhir sesuatu perkataan itu vokal “e” taling, maka keselarasan vokal yang harus terjadi ialah vokal dalam suku kata akhirnya iaitu vokal “o”. Contohnya perkataan bengkok, lencong, serong, tekong, kelong, kelentong, telempong dan sebagainya.

Sebaliknya, jika suku kata praakhir sesuatu perkataan ditandai oleh vokal “e” pepet, maka huruf vokal dalam suku kata akhirnya ialah vokal “u”. Contohnya bendung, kendung, kembung, rentung, pekung, telekung dan seumpamanya.

Kedua-duanya (kendong dan kendung) juga daripada golongan kata yang berbeza, iaitu perkataan kendong daripada golongan kata kerja manakala perkataan kendung daripada golongan kata nama.

Apakah maksud kendong dan kendung? Kendong bererti membawa barang dengan dibungkus di dalam kain sarung atau sapu tangan. Kata nama kendung ialah nama sejenis pokok yang nama saintifiknya dikenal sebagai symplocos laurina. Kulit batang pokok ini sungguh baik digunakan untuk menguatkan warna merah pada kain supaya tahan lama warnanya.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

 

Hantar Maklum Balas