PERANCANGAN PEMBUNUHAN J.W.W. BIRCH

Home » Jati Diri » Arkib Negara » PERANCANGAN PEMBUNUHAN J.W.W. BIRCH

Oleh Wan Mohd Rahimi Rahim, Arkib Negara Malaysia

Campur tangan British di Perak adalah bertitik tolak daripada Sir Andrew Clarke yang mengambil alih jawatan sebagai Gabenor Negeri-Negeri Selat daripada Sir Harry Ord pada 4 November 1873. Keadaan yang tidak stabil di negeri-negeri Tanah Melayu telah menyebabkan Sir Andrew Clarke bertindak campur tangan ke atas negeri Perak. Campur tangan di Perak bermula akibat masalah perebutan takhta kerajaan Perak antara Sultan Abdullah dengan Sultan Ismail. Sultan Abdullah telah bertindak dengan cuba meminta pertolongan dan sokongan daripada pihak British untuk mendapatkan takhta kerajaan. Akhirnya, Perjanjian Pangkor berjaya ditandatangani pada 20 Januari 1874 dan Sultan Abdullah diangkat sebagai Sultan Perak. Kesannya, Sistem Residen diperkenalkan oleh pihak  British yang kononnya untuk bertindak sebagai penasihat kepada Sultan Perak dalam urusan pentadbiran negeri. Namun begitu, pengenalan Sistem Residen di Perak sebenarnya dapat dilihat sebagai satu cara pihak British untuk mengawal dan mentadbir Perak secara tidak langsung.

Residen pertama yang telah dilantik oleh pihak British untuk menjawat jawatan sebagai Residen di Perak ialah James Wheeler Woodford Birch. Birch telah dilantik sebagai  Residen Perak pada  4 November 1874. Sir Andrew Clarke menyatakan bahawa Birch merupakan calon yang paling layak kerana Birch pernah memegang jawatan sebagai salah seorang pegawai British di Ceylon sebelum ini. Namun malangnya, kedatangan Birch di Perak sebagai Residen British tidak disenangi dan menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan orang Melayu akibat beberapa perubahan yang dilakukan oleh beliau di Perak. Antara perubahan yang cuba dilakukan oleh Birch termasuklah mengubah sistem pungutan cukai. Rasa tidak puas hati orang Melayu di Perak juga adalah disebbakan oleh isu perhambaan dan peraturan tanah yang telah diperkenalkan. Di sini, dapat dilihat bahawa orang Melayu tidak puas hati sehingga melakukan pakatan dalam usaha menentang Birch, sehingga bertindak untuk membunuhnya.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Hantar Maklum Balas