Kawah Ijen-Gunung Berapi Biru

Home » Saintifik » Misteri Dalam Sains » Kawah Ijen-Gunung Berapi Biru

Oleh Nor Azida Ishak

Di perbatasan antara Kabupaten Banyuwangi dan Kabupaten Bondowoso di Pulau Jawa Timur Indonesia, terdapat sebuah gunung berapi aktif yang sangat unik iaitu Gunung Ijen. Gunung ini berketinggian 2,443 meter dan pernah meletus beberapa kali, kali terakhir pada tahun 1999. Salah satu fenomena alam yang paling terkenal di Gunung Ijen ialah kawah yang terletak di puncaknya. Kawah ini diberi nama Kawah Ijen, mempunyai kedalaman danau 200 meter dan merupakan danau terbesar di Pulau Jawa.

Kawah Ijen juga dikenali sebagai tempat takungan air terbesar di dunia yang mengandungi asid hidroklorik. Asid hidroklorik ini terhasil daripada tindak balas gas hidrogen klorida yang datang dari gunung berapi itu bersama-sama molekul air di dalam danau ini. Kandungan asid hidroklorik menjadikan air Kawah Ijen itu berwarna hijau firus dan mempunyai kepekatan asid hidroklorik yang sangat tinggi, iaitu pada pH menghampiri 0.

Kawah Ijen mempunyai keistimewaannya tersendiri kerana berlakunya fenomena api biru pada waktu malam setiap hari. Cahaya biru ini dapat dilihat mengalir keluar dari Gunung Ijen, sehingga ramai yang membuat tanggapan bahawa cahaya ini datangnya daripada lahar (lumpur panas yang mengalir keluar) dari gunung itu. Namun anggapan ini tidak benar kerana lahar atau leburan batuan dari Gunung Ijen tidak berbeza warnanya dengan lahar dari gunung berapi lain. Kesemua lahar akan mempunyai kandungan mineral yang berbeza, tetapi warnanya tetap merah terang atau jingga dalam keadaan lebur, dan ini juga berlaku terhadap Gunung Ijen.

Saintis mendapati bahawa fenomena api biru itu terhasil akibat pembakarangas sulfur di sekitar Kawah Ijen. Cahaya biru di kawasan gunung berapi sangat sukar untuk berlaku, tetapi fenomena ini berlaku di Kawah Ijen disebabkan kuantiti gas sulfur yang luar biasa banyaknya. Kehadiran molekul oksigen dalam udara berserta dengan cucuhan api dari lahar panas itu, membuatkan sulfur ini membakar dengan sempurna untuk menghasilkan api berwarna biru.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Hantar Maklum Balas