SEKOLAH SATU ALIRAN HARMONIKAN KAUM

Home » Fokus » SEKOLAH SATU ALIRAN HARMONIKAN KAUM

Oleh Noor Azam Abdul Rahman

Menyatukan ahli masyarakat dari pelbagai kaum agar mampu mempunyai nilai, cara hidup, budi dan rasa cinta pada negara yang sama adalah satu tugas yang mencabar. Sebagai sebuah negara yang didiami oleh ahli masyarakat dari pelbagai kaum, agama dan keturunan seperti Malaysia, amat memerlukan satu formula hebat dan berkesan untuk melahirkan satu kumpulan ahli masyarakat yang mempunyai rasa cinta yang tinggi kepada negara. Pihak yang berwajib seperti kerajaan dan ahli masyarakat keseluruhannya perlu mempunyai satu rangka dasar yang jelas bagi merealisasikan hasrat menyatukan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Salah satu cadangan yang sering diutarakan oleh pelbagai pihak adalah dengan mewujudkan sekolah satu aliran. Institusi pendidikan seperti sekolah dilihat sebagai salah satu tempat yang berkesan bagi semua pihak untuk memupuk nilai patriotisme kepada para pelajar. Para pelajar dari peringkat usia muda mampu diberi tunjuk ajar yang baik tentang nilai hidup kebersamaan dalam sebuah negara majmuk.

Ahli akademik seperti Prof. Dato’ Dr. Teo Kok Seong dari Universiti Kebangsaan Malaysia misalnya merupakan salah seorang yang sering mencadangkan melalui tulisannya di surat khabar dan majalah berkaitan kepentingan sekolah satu aliran. Beliau tanpa jemu berkali-kali mencadangkan agar sistem pendidikan di Malaysia diseragamkan dalam erti kata yang sebenar. Iaitu satu konsep pendidikan yang menggunakan bahasa pengantar, bahan pengajaran, sukatan mata pelajaran dan teknik pengajaran yang sama di semua sekolah di Malaysia. Konsep sekolah satu aliran perlu diterapkan kepada semua sekolah peringkat rendah dan menengah di Malaysia.

Satu-satunya tempat yang berupaya menerapkan pelbagai nilai positif kepada kumpulan sasaran ini ialah sekolah. Pada usia yang muda, pelajar akan lebih memahami nilai terbaik yang perlu ada dalam sanubari masing-masing terutama berkaitan perbezaan nilai yang terdapat dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Selaras dengan matlamat asas pendidikan di Malaysia yang dinyatakan melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan bahawa sistem pendidikan di Malaysia bermatlamat untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Hal ini jelas menunjukkan bahawa sistem pendidikan kita telah mempunyai hal tuju yang betul dalam proses pembentukan masyarakat yang bersatu padu dan hidup secara harmoni. Perlaksanaan sistem ppendidikan yang diguna pakai sejak awal kemerdekaan hingga kini telah berjaya membentuk masyarakat Malaysia yang bersatu padu.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Hantar Maklum Balas