KURANG TUMPUAN MELEMAHKAN PELAJAR

Home » Khas » Isu Semasa » KURANG TUMPUAN MELEMAHKAN PELAJAR

Oleh Nawi Ismail

Tidak dinafikan bahawa pencapaian pelajar dalam bidang akademik agak berbeza antara seorang pelajar dengan pelajar yang lain. Ada antara pelajar yang sentiasa memperoleh pencapaian yang cemerlang dalam setiap peperiksaan yang diduduki mereka. Terdapat juga pelajar yang gagal secara berterusan dan sebilangan besar pula memperoleh pencapaian yang sederhana. Keupayaan pelajar memperoleh kecemerlangan berpunca daripada pelbagai faktor. Demikian juga halnya dengan kelemahan pelajar. Bagi pelajar tahap sederhana, ada antara mereka yang meningkat cemerlang meskipun kurang ketara dan tidak kurang pula yang kian merosot dari semasa ke semasa. Mengapakah demikian?

Berdasarkan pengalaman penulis berhadapan dengan pelajar sederhana dan pelajar yang lemah, didapati bahawa sebahagian besar daripada mereka tidak memberikan tumpuan atau tidak dapat berbuat demikian semasa pengajaran dan pembelajaran (pdp) dijalankan. Dalam kalangan mereka, ada yang tidak pernah membawa peralatan yang diperlukan untuk aktiviti pdp seperti yang dirancang oleh guru. Kehilangan bahan yang diberikan terlebih awal sudah sinonim dengan sebahagian daripada ahli kumpulan ini. Kegagalan menyiapkan tugasan sewajarnya langsung tidak dianggap suatu kekurangan. Tanpa persediaan dari segi material dan mental mustahil sekali untuk pelajar yang berkenaan mengikuti pdp dengan berkesan. Tabiat ini tidak memungkinkan pelajar yang berkenaan memperoleh kecemerlangan dalam peperiksaan.

Dalam bilik darjah, kebanyakan pelajar memilih untuk duduk berhampiran dengan rakan karib mereka. Bagi pelajar cemerlang, tindakan sedemikian dilakukan untuk memudahkan mereka mengadakan perbincangan ataupun melaksanakan aktiviti secara berkumpulan. Namun begitu, bagi pelajar golongan sederhana, kedudukan secara berpasangan ataupun secara berkumpulan, empat orang atau lebih, kebiasaannya mengundang masalah. Hal ini dikatakan demikian kerana ada antara mereka semacam tidak boleh berhenti berbual tentang perkara yang tidak berkaitan dengan pelajaran ketika pdp dijalankan. Segelintir pelajar pula berpura-pura memberikan tumpuan terhadap guru tetapi pemikiran mereka sememangnya ke arah yang lain. Akibatnya, kelompok ini bukan sahaja tidak dapat menjawab soalan yang diajukan oleh guru, malah tidak menyedari perkara yang dipelajari pada masa yang berkenaan.

Tabiat sedemikian sukar ditangani apabila pelajar sudah biasa berbuat demikian. Penulis pernah meminta pelajar yang dikenal pasti bersikap demikian tampil di hadapan bilik darjah untuk melakukan aktiviti pdp, misalnya membacakan petikan, mendeklamasikan puisi, bercerita, atau melakukan aktiviti lain yang telah dirancang. Setelah diberikan penjelasan, pelajar yang berkenaan berjaya melakukan aktiviti yang dimaksudkan. Namun begitu, apabila kembali ke bangku asalnya, tumpuan tentang perkara yang dipelajari semakin lenyap lantaran melakukan sesuatu yang dianggap menimbulkan keseronokan seketika.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Hantar Maklum Balas