Al-Ghafiqi Pakar Oftalmologi dan Farmakologi

Home » Jati Diri » Cendekiawan Islam » Al-Ghafiqi Pakar Oftalmologi dan Farmakologi

Oleh Irfan AS

RIWAYAT hidup Al-Ghafiqi secara lengkap tidak dapat diperoleh oleh para pengumpul maklumat Arab Islam. Oleh itu, tiada satu pun maklumat mengenai riwayat hidupnya ditemukan. Beliau dikatakan hidup pada abad ke-12 Masihi. Al-Ghafiqi atau nama sebenarnya Muhammad bin Qassum bin Aslam Al-Ghafiqi dikatakan lahir di Cordoba, Sepanyol. Masyarakat Cordoba sangat menghormati Al-Ghafiqi dan bagi mengenang jasa-jasa beliau, namanya diukir di rumah sakit di Cordoba.

Al-Ghafiqi terkenal sebagai pakar oftalmologi. Beliau dikatakan banyak merujuk karya oleh Ammar bin Ali Al-Mosuli, tetapi lebih memberikan penelitian terhadap jaringan otak yang berhubungan dengan mata. Kitab Al-Mursyid Fil Kuhl (Bimbingan Oftalmologi) ataupun The Oculist’s Guide karangan Al-Ghafiqi bermaksud panduan untuk ahli mistik. Karya beliau merupakan sebuah sinopsis daripada sebahagian besar ilmu kedoktoran mengenai mata. Kitab ini mengandungi enam bahagian, iaitu sebahagian dalam bab kelima dan keenam mengulas mengenai masalah kedoktoran dan kesihatan mata.

Kitab itu tidak hanya mengupas tentang penyakit mata sahaja, namun menjelaskan secara terperinci mengenai kepala dan penyakit otak. Secara keseluruhannya, Kitab Al-Mursyid mampu membuat andaian konsep moden dalam bidang patologi mata, khususnya yang berkait rapat dengan sebab-sebab yang ditunjukkan melalui seluruh organisma. Kitab ini dikatakan sangat sistematik, gaya bahasanya mudah untuk difahami. Kitab ini juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis oleh Max Meyerhof, iaitu L’ophtal-mologie de Mohammad al-Ghafiqie pada tahun 1923.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Hantar Maklum Balas