KEGILAAN YANG MENGHANCURKAN

Home » Nota Editor » KEGILAAN YANG MENGHANCURKAN

TIADA salahnya sesebuah karya picisan dihasilkan. Yang kurang manisnya hanya jika hasil pembacaan karya tersebut memberikan impak kurang baik buat generasi muda. Karya picisan kini dilihat mempunyai lebih banyak khalayak berbanding dengan karya lain. Kegilaan kepada karya picisan ini dilihat melalui pencapaian jualan tertinggi semasa pada setiap kali pesta buku diadakan. Ditambah pula dengan fenomena kecenderungan pengkarya filem dan drama menghasilkan karya adaptasi daripada karya popular, hal ini telah mencetuskan kegilaan yang luar biasa, terutamanya kepada golongan remaja.

Karya persuratan, karya sastera, dan karya picisan sudah diterima kewujudannya oleh sasterawan, sarjana, dan pengkritik sastera hari ini. Pernah juga penulis karya picisan diangkat sebagai sasterawan setelah menghasilkan karya serius.

Hal yang berlaku dalam usaha menulis dan menerbitkan karya popular ini ialah ketandusan idea bernas yang mendorong pembaca untuk berfikir. Berlandaskan kepercayaan, pembaca tidak perlu dibebankan dengan idea yang berat dan mengutamakan karya yang dapat menarik minat membaca daripada memberikan idea yang membebankan pembaca sehingga lupus minat untuk membaca. Maka, dari situlah penulis mula bercerita, bukan lagi mengarang.

Persoalannya, adakah kegilaan ini menjadi pengukur kepada momentum gerakan minat membaca dalam kalangan remaja? Adakah wajar kegilaan ini diangkat sebagai gerakan yang positif sedangkan bahan bacaan yang menjadi pilihan boleh dikategorikan sebagai karya yang mampu mencetuskan krisis intelektual yang kronik kepada golongan muda hari ini?

Dalam konteks ini, biarpun terdapat pandangan yang menyatakan karya picisan bersifat ringan dan hiburan mampu mengatasi kelesuan budaya membaca dalam kalangan remaja, namun pembacaan karya picisan secara berterusan bukanlah perkembangan yang sihat. Hal ini dikatakan demikian kerana karya picisan hanya sekadar berkisar kepada kisah percintaan lelaki kacak, gadis cantik, kehidupan keluarga ternama, dan pelbagai aspek material lagi yang ternyata sekadar mampu membawa remaja ke alam fantasi yang penuh dengan keseronokan. Tema dan persoalan yang diangkat pula merupakan tema mudah yang pastinya tidak mencabar minda. Plot cerita, yang jelas memaparkan corak kehidupan yang mewah dan penuh kesenangan, akan memberikan racun kepada pemikiran para remaja hari ini, seolah-olah segalanya mudah dan indah, sedangkan para remaja sepatutnya membuat persiapan mental dan fizikal kerana banyak cabaran yang akan ditempuhi apabila usia menginjak ke alam dewasa.

Sesebuah karya yang baik akan menjadi wadah pendidikan apabila wujudnya komunikasi yang baik antara pengarang dengan pembacanya. Hasil karya sastera bersifat bentuk. Sebagai bentuk, maka selayaknya karya tersebut memiliki keteraturan dan pola serta berfungsi sebagai alat penghibur yang bermanfaat kepada pembaca. Ketaasuban dalam mempromosikan karya picisan dalam pelbagai bentuk media, secara tidak langsung, telah mengubah landskap pemikiran masyarakat dalam menilai mutu sesebuah hasil karya sastera. Semua pihak perlu saling bertanggungjawab untuk memilih bahan bacaan yang bermutu tinggi kepada generasi remaja hari ini kerana bahan bacaan tersebut mampu memberikan nilai tambah kepada pembentukan peribadi mereka. Pilihan kita hari ini akan menentukan wajah budaya generasi akan datang.

Haziah Che Husin

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

 

 

Hantar Maklum Balas