BAGAI ENAU DALAM BELUKAR, MELEPASKAN PUCUK MASING-MASING

Home » Nota Editor » BAGAI ENAU DALAM BELUKAR, MELEPASKAN PUCUK MASING-MASING

 

 

ADA lakaran suram yang menyelubungi masyarakat kita pada masa kini, bahawa semangat kejiranan dalam diri semakin terhakis. Semangat bagai aur dengan tebing ini dilihat semakin pudar. Sebagai akibatnya, kes jenayah semakin bertambah setiap hari. Jika dahulu penjenayah gerun melihat semangat waja tetangga menjaga kediaman secara bersama-sama, kini tidak lagi selepas persatuan penduduk berkubur kerana masing-masing mula renggang dan sibuk menguruskan kehidupan peribadi. Aktiviti yang berkaitan dengan kejiranan juga semakin berkurangan.

Hal ini berlaku kerana masyarakat kini lebih mengutamakan sikap keakuan dan enggan mempedulikan perkara yang berlaku di luar rumah yang tiada kaitan dengan mereka. Aktiviti kemasyarakatan seperti menjayakan majlis kenduri misalnya, semakin dilupakan. Adat resam ini turut pupus selari dengan peredaran masa. Amalan bekerjasama untuk menjayakan majlis kenduri telah diambil alih oleh orang perseorangan ataupun restoran dan hotel melalui tempahan yang diterima. Keadaan ini telah menutup peluang anggota masyarakat untuk menyumbang tenaga secara bersama-sama sedangkan aktiviti seperti itulah yang memberikan kesempatan kepada mereka untuk bertemu dan menjalinkan kemesraan. Masyarakat semakin hari semakin sibuk dengan urusan harian masing-masing.

Hubungan kemasyarakatan yang renggang ini ada kaitannya dengan sikap masyarakat hari ini yang lebih cenderung untuk hidup bersendirian tanpa gangguan orang lain. Terdapat tanggapan bahawa kemewahan yang dikecap sudah memadai bagi mereka untuk menjalani kehidupan tanpa perlu bergantung pada orang lain.

Semua orang yang tinggal berdekatan hingga 40 buah rumah dari setiap penjuru, mereka itulah yang dikatakan sebagai jiran. Bagi menjamin keharmonian awam, sikap menghormati dan berbuat baik kepada jiran tetangga merupakan amalan yang mulia, malah dituntut oleh setiap agama dan perlu diterapkan seawal usia.

Orang tua-tua pernah berkata, jiran tetangga yang baik seumpama adik-beradik. Ketika kita berada dalam kesusahan, terutamanya ketika ditimpa kemalangan, merekalah orang pertama yang akan datang menghulurkan bantuan sebelum ketibaan adik-beradik atau saudara-mara. Tambahan pula, jarang-jarang benar kedapatan adik-beradik duduk berjiran seperti di kampung.

Melalui muafakat dan hubungan yang erat, pasti keharmonian yang nebjadi teras dalam perpaduan kaum akan tercapai. Rakyat yang bersahsiah terpuji melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara ke arah kegemilangan di puncak jagat. Sesungguhnya, perpaduan tidak akan dicapai tanpa semangat kejiranan. Sekiranya semua kaum di negara kita menanam nilai menghormati jiran semenjak kecil lagi, sudah pasti negara aman dan peristiwa pahit 13 Mei 1969 tidak akan berbuah dua kali. Soal kejiranan memang tidak boleh dipandang mudah. Semangat kejiranan amat penting untuk menjamin bukan sahaja perpaduan, malah keselamatan negara.

Haziah Che Husin

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)

Hantar Maklum Balas