MUAFAKAT MELAHIRKAN MASYARAKAT HARMONI

Home » Fokus » MUAFAKAT MELAHIRKAN MASYARAKAT HARMONI

Oleh Md Nizar Parman

BENARKAH nilai kejiranan dalam kalangan masyarakat hari ini semakin luntur sehingga mereka tidak peduli langsung tentang apa-apa yang berlaku di sekeliling mereka? Memang kedengaran aneh apabila mendengar kisah jiran yang tidak mengenali jiran yang tinggal di sebelah rumahnya, namun itulah realiti yang berlaku di sesetengah kawasan kediaman atau taman perumahan.

Dalam konteks ini, jiran dapat didefinisikan sebagai orang lain yang tinggal berhampiran dengan kita di sesebuah kawasan kediaman, termasuklah taman perumahan, kampung dan pangsapuri. Oleh yang demikian, sebagai ahli komuniti di kawasan kediaman tersebut, sudah sewajarnya kita pupuk nilai kejiranan yang positif. Dengan cara ini, hubungan antara ahli komuniti dapat dijalinkan dan memudahkan proses penyatupaduan masyarakat.

Sebelum kita berhijrah ke kawasan kediaman yang baharu, kita perlu bersedia untuk berhadapan dengan lapisan mayarakat yang berlainan agama dan kepercayaan, cara hidup, taraf sosioekonomi, dan latar belakang pendidikannya. Oleh itu, sebelum membeli atau membina rumah di sesebuah kawasan kediaman, kita perlu memikirkan perkara ini semasak-masaknya dan bersedia untuk menghadapi kerenah orang di sekeliling kita.

Agama Islam sendiri memberikan panduan yang jelas tentang tatacara hidup berjiran. Dalam konteks ini, sebagai ahli masyarakat, kita perlulah memelihara hubungan yang baik serta menghormati jiran kita. Hubungan yang erat dan akrab dengan masyarakat sekeliling pastinya akan memberikan kesan yang positif dalam usaha untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang rukun dan damai. Perkara ini disebut dalam firman Allah melalui Surah al-Nisa’, ayat ke-36 yang bermaksud, “Dan, hendaklah kamu berbuat baik dengan kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki.”

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)

 

Hantar Maklum Balas