TARIAN SEBAGAI MEDIUM PERKEMBANGAN REMAJA

Home » Khas » Isu Semasa » TARIAN SEBAGAI MEDIUM PERKEMBANGAN REMAJA

Oleh Shasha Shakierah

KEGIATAN kesenian dan kebudayaan memainkan peranan penting dalam mewujudkan perpaduan dan sosialisasi di Malaysia. Persefahaman budaya ini menjadikan rakyat Malaysia saling menerima dengan hati yang terbuka dan tidak menimbulkan konflik. Hal ini menjadikan Malaysia sebagai negara yang memiliki keunikan tersendiri. Kepelbagaian agama, bangsa, seni, dan budaya yang diamalkan dalam kehidupan harian masyarakat Malaysia tidak menjadi halangan pada hubungan sesama kaum di negara ini. Sejak dahulu lagi, amalan budaya tradisional di Malaysia amat dikagumi oleh dunia luar.

Aspek kesenian dan kebudayaan amat berkaitan rapat dengan identiti, ideologi, dan amalan harian sesuatu kelompok masyarakat. Hal sebegini perlu dikekalkan demi kesinambungan tamadun. Pelibatan masyrakat dalam aktiviti kesenian dan kebudayaan, misalnya, dapat memberikan impak yang positif kepada pembangunan negara. Modal insan yang berkualiti amat penting dalam meningkatkan produktiviti negara. Sejajar dengan itu, pelbagai pihak telah menggembleng tenaga untuk memastikan warisan seni dan budaya tradisional di Malaysia terus diwarisi generasi demi generasi. Kesedaran terhadap kepentingan seni dan budaya tradisional perlu dipupuk kepada setiap golongan masyarakat agar tidak lagi dipandang enteng.

Bagi merealisasikan impian ini, golongan remaja memainkan peranan yang besar dalam kegiatan kesenian dan kebudayaan, terutamanya bidang tari. Bidang ini bukan sahaja mendatangkan keuntungan kepada negara, malah membantu perkembangan remaja pada hari ini. Perkembangan akademik semata-mata tidak dapat menjamin perkembangan remaja. Remaja perlu memiliki kecergasan fizikal dan mental dalam menempuh kehidupan yang begitu mencabar. Remaja perlu dibimbing untuk menggerakkan mereka ke arah diri yang positif dan memiliki jati diri yang mantap. Aktiviti tarian dapat dijadikan sebagai medium untuk melahirkan modal insan kelas pertama.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)

 

Hantar Maklum Balas