ABU MAS’HAR AL-BALKHI

Home » Jati Diri » Cendekiawan Islam » ABU MAS’HAR AL-BALKHI

Oleh Irfan AS

SAINTIS Islam, Abu Ma’shar Al-Balkhi atau nama penuhnya, Abu Masyar Ja’far Ibnu Muhammad Ibnu Umar, lahir di Balkh, sebuah kota di timur Khurasan semasa pemerintahan Crayon Al-Kindi, pada separuh abad yang pertama ketiga Hijrah atau bersamaan 9 Masihi. Di Barat, dia dikenali sebagai Albumasar atau Albusar. Dia juga dikenali sebagai Al-Falaki atau Ibnu Balkhi pada zaman khalifah Abbasiyah.

Abu Ma’shar mengabdikan hampir seluruh hidupnya untuk mendalami dan mengembangkan ilmu astronomi dan astrologi. Karyanya ditulis dalam bahasa Arab dan Parsi. Ilmu astrologi merujuk ilmu peramalan sesuatu berdasarkan kajian bintang, manakala ilmu astronomi merujuk pengetahuan mengenai bintang yang melibatkan kajian tentang kedudukan, pergerakan, dan perkiraan serta tafsiran yang berkaitan dengan bintang.

Abu Ma’shar memberikan tumpuan yang terperinci dalam kajian astronomi dan astrologi selepas menamatkan pengajian dalam bidang tradisi Islam klasik di Baghdad. Sejak remaja, Abu Ma’shar belajar dan mengkaji tradisi kuno Arab. dia mengajarkan gambaran sumber yang muncul pada langit bersama-sama 36 “decans” (tanda ketiga daripada 12 zodiak) yang digelar “Parantellonta”, seperti yang telah digambarkan oleh Teucer bahawa orang Babylon sangat mempengaruhi para pelukis Reinaisans.

Di samping itu juga, Abu Ma’shar terus  menambahkan ilmu pengetahuannya dalam bidang astronomi. Pada ketika itu, tidak banyak pengkaji astrologi. Hal ini secara langsung menarik minatnya untuk mendalami ilmu tersebut. Pada waktu itu, ilmu astrologi belum dihubungkan dengan  ilmu ramalan atau nujum dan Abu Ma’shar menguasai astrologi yang berasaskan sains. Karya astrologinya banyak dipengaruhi oleh prinsip asas dan hukum astronomi yang diwarisi daripada para cendekiawan sebelumnya. Abu Ma’shar juga merupakan anak didik tokoh ilmuwan Muslim terhebat pada abad ke-8 Masihi, iaitu Al-Kindi.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)

Hantar Maklum Balas