IKTIBAR DARIPADA KEJADIAN SEPUTAR

Home » Nukilan Kreatif » Ulasan Puisi » IKTIBAR DARIPADA KEJADIAN SEPUTAR

Oleh Mahaya Mohd. Yassin

APABILA diamat-amati, kehidupan merupakan perjuangan. Manusia berjuang untuk memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat. Perjuangan pula ada pasang surutnya, bak laut yang ada ketikanya bergelora, ada ketikanya hanya berombak kecil.

Perjuangan penulis muda pada bulan ini adalah untuk menimba ilham daripada lambang alam. Oleh itu laut, cakerawala, langit, banjir, serta manusia dan mimpinya dijadikan citra untuk iktibar. Kecaknaan ini mempamerkan kematangan penulis dalam menyaring bahan yang terbaik kepada pembaca.

Sajak “Air Laut Biru” membangkitkan semangat berdaya juang yang tinggi. Bagi penulis, laut biru itulah yang mendewasakan dirinya menjadi insan yang tabah. Bentuk sajak akan menjadi lebih kemas selaras dengan temanya yang mantap, andainya ayat yang digunakan lebih ringkas dan mudah. Belajar dan berlatihlah mengungkapkan sesuatu dengan ayat yang padat dan puitis. Contoh:

aku dibesarkan untuk mengenal erti kehidupan

tempat permainan bermula dari kecil hingga dewasa

tempat bermain badai, berhujan dan berpanas

setiap hari

di laut biru ini tenang dan damai jiwa bertapak

menjadi:

membesar mengenal erti kehidupan

bermain badai, berpanas, berhujan

setiap hari;

di jiwa bertapak damai dan tenang.

Dari segi bentuk, seperti sajak pertama, sajak “Aku dan Cakerawala” masih dapat dipuitiskan sehingga menjadi padat. Sajak ini mengungkapkan kekerdilan manusia apabila dibandingkan dengan kuasa Pencipta Yang Agung. Namun begitu, penulis sedar bahawa bermula daripada membina impian untuk menguasai ilmu tentang alam cakerawala, dia yakin cita-citanya akan berhasil suatu hari nanti.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)

 

Hantar Maklum Balas