CHICAGO LOKASI POPULAR FILEM HOLLYWOOD

Home » Khas » CHICAGO LOKASI POPULAR FILEM HOLLYWOOD

Oleh Nisah Haron

 PELUANG ke negara Amerika Syarikat bukanlah terbuka kepada semua. Setakat ini, pelancong dari Malaysia memerlukan visa yang mesti dimohon daripada Kedutaan Amerika Syarikat. Hanya mereka yang mempunyai urusan rasmi, atau mereka yang diluluskan oleh pihak kedutaan sahaja yang memasuki negara ini. Lantas, peluang ke Amerika Syarikat melalui Chicago sebagai pintu masuk merupakan impian yang menjadi realiti.

Chicago antara bandar raya yang kerap dipaparkan melalui filem dan siri televisyen. Pada hakikatnya, kita sendiri banyak mengenali budaya dan tempat di Amerika Syarikat melalui media seperti itu. Nama Chicago tentu sahaja sinonim dengan siri termasuklah Chicago Hope dan deretan filem yang menggunakan Chicago sebagai latar – My Best Friend’s Wedding, The Untouchables, When Harry Met Sally, Public Enemies, dan Home Alone (sekadar menyebut beberapa filem).

Karya filem dan sastera menjadi tarikan kepada penulis apabila peluang untuk menjejakkan kaki di tempat ini menjadi kenyataan. Bermula dari pintu masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa O’ Hare, pengunjung terpukau dengan sistem yang ada, walaupun lapangan terbang ini antara yang terbesar dan tersibuk di dunia.

Selepas peristiwa 11 September 2001, pelbagai kisah dimomokkan kepada pengunjung Muslim yang datang ke negara ini. Ada yang benar, ada sebahagiannya diseparuhbenarkan. Bagi penulis, laluan ini dipermudah. Berbekalkan dokumen yang lengkap dan menjawab soalan daripada pegawai imigresen dengan tenang dan tegas, penulis dibenarkan masuk ke Amerika Syarikat melalui pintu masuk Chicago ini tanpa soal jawab yang panjang.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)

Hantar Maklum Balas