MEMBINA DAN MEMPERKASAKAN SIFAT POSITIF REMAJA

Home » Jati Diri » Remaja Cemerlang » MEMBINA DAN MEMPERKASAKAN SIFAT POSITIF REMAJA

Oleh Lokman Ismail

REMAJA sentiasa dilihat dengan prejudis. Bertemu dengan teman sebagai dilabelkan melepak; apabila menyuarakan perasaan, dikatakan kurang ajar; menunggang motosikal dikatakan “merempit”; dan berambut panjang terus dikatakan muka penjenayah. Semua label ini ditujukan kepada remaja, kononnya berdasarkan perkara yang banyak berlaku sekarang.

Isunya ialah persepsi kita banyak menjurus kepada prejudis terhadap remaja. Berapakah jumlah bilangan remaja yang dikategorikan bermasalah dan gagal dididik? Adakah wajar dan adil untuk mereka menerima pandangan serong daripada khalayak yang terjerat dengan pendedahan statistik, yang sepatutnya tidak menggambarkan remaja secara keseluruhannya?

Memang benar wujud kelompok remaja yang bermasalah di negara kita. Mereka terlibat dengan pelbagai jenayah, termasuklah dadah, rogol, kongsi gelap dan merompak. Tahap jenayah mereka menyamai apa-apa yang dilakukan oleh orang dewasa sehingga kita sukar mempercayai perbuatan itu dilakukan oleh remaja.

Kejadian tersebut yang dilakukan oleh sebilangan kecil remaja tidak sepatutnya membuatkan kita merumuskan bahawa perbuatan itu dilakukan oleh kebanyakan remaja. Kita kena menjadi individu yang realistik bahawa tuduhan yang melulu tidak akan mengubah keadaan. Kebencian dan pandangan negatif tidak akan mengubah apa-apa, bahkan dapat membawa keadaan lebih buruk.

Tanpa berhasrat untuk menafikan realiti bahawa wujudnya kalangan remaja yang tidak bermoral, kita perlu berlaku adil kepada remaja lain yang bukan dalam golongan ini. Kita mendefinisikan bermacam-macam perilaku buruk terhadap remaja dan mereka yang tidak mempunyai kuasa untuk membetulkan persepsi terhadap mereka ini. Lebih banyak pihak yang menyalahkan mereka daripada berusaha untuk membantu mereka ke arah lebih baik.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)

Hantar Maklum Balas