HILANGNYA PEGANGAN HIDUP BERKELUARGA

Home » Nota Editor » HILANGNYA PEGANGAN HIDUP BERKELUARGA

SIRI keganasan terhadap kanak-kanak di negara kita dewasa ini seolah-olah tiada penyudahnya. Isu keganasan terhadap ibu bapa juga semakin bertambah bilangannya setiap hari. Belum lagi kita membuka pekung di dada, sebanyak mana kes suami memukul isteri yang akhirnya membawa perceraian dan robohnya institusi kekeluargaan. Hampir setiap hari ada sahaja berita ataupun laporan berkaitan isu ini, baik di media cetak mahupun di media elektronik.

Di manakah rasa kasih sayang dan tanggungjawab mereka terhadap darah daging mereka sendiri? Apakah punca yang menyumbang kepada masalah sosial sebegini dalam masyarakat kita  dan ke manakah hilangnya nilai kasih sayang dalam masyarakat kita? Punca sebenarnya adalah hilangnya nilai kemanusiaan dalam hati manusia. Sistem kekeluargaan dalam masyarakat kita nampaknya semakin goyah dan sedang menuju ke tahap yang cukup berbahaya. Masalah sosial ini jelas mencerminkan tahap dan kedudukan sebenar institusi kekeluargaan di negara kita yang begitu rapuh dan pincang. Kejadian sebegini membawa kita kepada beberapa persoalan penting yang perlu dirungkai dan ditangani dengan segera. Jika terus leka, dikhuatiri budaya ini akan menghancurkan terus nilai kemanusiaan dalam masyarakat kita suatu hari kelak.

Pada masa yang sama, masyarakat juga dilihat dewasa ini lebih mementingkan kebendaan yang menyebabkan kita semakin lalai dan melupakan nilai kasih sayang yang selama ini menjadi tunjang dan tulang belakang sebuah keluarga. Perasaan sayang, cinta, ambil berat dan saling hormat-menghormati semakin terhakis. Itulah harga yang terpaksa kita bayar untuk menikmati kemajuan dan pembangunan yang dimiliki sekarang. Apakah kita boleh berbangga dengan kemajuan sebegini?

Anggota keluarga merupakan orang yang paling penting dalam hidup. Sesebuah keluarga biasanya terdiri daripada bapa, ibu dan anak yang dinamakan keluarga asas. Selain keluarga asas, terdapat juga anggota keluarga kembangan yang terdiri daripada datuk, nenek, bapa saudara, sepupu, dan anggota keluarga lain. Hubungan sebuah keluarga akan lebih kukuh dan mesra apabila anggota keluarga saling memahami antara satu sama lain.

Kasih sayang memainkan pengaruh besar dalam kehidupan dan menjadi sebahagian daripada keperluan psikologi manusia. Perasaan ini merupakan satu cetusan emosi terhadap sesuatu atau seseorang. Kasih sayang melibatkan suasana, sikap dan harapan seseorang terhadap seseorang atau sesuatu yang lain. Kasih sayang dapat dilahirkan melalui tingkah laku, perhatian, pengorbanan dan persefahaman.

Kasih sayang akan kekal dalam diri individu jika dicurahkan atas dasar penghormatan kerana tanpa penghormatan akan wujud ketidakseimbangan dan ketidakselesaan dalam perhubungan termasuklah akan berlaku konflik dan ketegangan. Ikatan kasih sayang akan bertambah kuat jika terdapat terdapat persamaan nilai yang dipegang kerana semakin serupa nilai hidup seseorang itu maka semakin mudah dan kuat sesuatu jalinan perhubungan yang akhirnya wujud kebahagiaan dan kemesraan dalam sesebuah institusi kekeluargaan.

Salah satu faktor yang mempengaruhi perkembangan dan pembangunan sahsiah belia ialah institusi keluarga. Institusi keluarga memainkan peranan penting dalam setiap perkembangan anak dari kecil hingga dewasa. Rumah yang mesra dan harmoni menggalakkan perkembangan sahsiah yang sihat. Kasih sayang, layanan, asuhan dan perhatian yang diberikan ibu bapa secara langsung membantu proses perkembangan sahsiah yang positif.

Haziah Che Husin

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2016)

 

Hantar Maklum Balas