TIPIS NILAI KASIH SAYANG

Home » Fokus » TIPIS NILAI KASIH SAYANG

Oleh Noor Azam bin Abdul Rahman

 Keluarga adalah segala-galanya”. “Keluarga merupakan perkara pertama yang saya fikirkan”. “Tanpa keluarga, siapalah kita?” Itulah ungkapan yang biasa kita dengar jika berbincang tentang isu keluarga. Banyak anggota masyarakat yang sedar tentang kepentingan keluarga dalam kehidupan masing-masing. Seseorang yang normal pastinya akan sentiasa menyedari kepentingan keluarga sebagai elemen terpenting yang mempengaruhi kejayaan ataupun kegagalan seseorang.

Walau bagaimanapun, isu keluarga pada masa ini seolah-olah bertentangan dengan prinsip serta fitrah manusia yang normal. Biarpun masyarakat sedar tentang kepentingan keluarga dalam diri mereka, masih lagi wujud isu kekeluargaan yang menyentuh jiwa yang berlaku dalam masyarakat. Dewasa ini, masih berlaku kes yang melibatkan keruntuhan nilai kekeluargaan sehingga berlaku perceraian dalam kalangan ibu bapa muda. Kelihatannya masalah sosial dalam kalangan remaja berpunca daripada masalah pada peringkat unit kecil dalam masyarakat, iaitu keluarga.

Isu tipisnya kasih sayang kepada keluarga yang berlaku dalam masyarakat kini telah memberikan kesan yang tidak baik terhadap persediaan negara untuk muncul sebagai negara maju yang hebat teknologinya dan pada masa yang sama, masih mampu mengekalkan keharmonian dalam keluarga. Harapan yang tinggi ini, yang telah digariskan sebagai matlamat utama dalam Wawasan 2020, tidak akan berjaya jika isu tentang kesejahteraan keluarga tidak ditangani dengan sebaik-baiknya oleh semua pihak.

Jika dilihat perangkaan jumlah perceraian yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam tempoh beberapa tahun belakangan ini, didapati berlaku pertambahan yang ketara. Pada tahun 2004, sebagai contohnya, jumlah perceraian bagi pasangan Islam melibatkan 24 207 pasangan. Jumlah ini bertambah kepada 56 760 pasangan pada tahun 2012. Berdasarkan perangkaan tersebut, pasangan yang bercerai pada setiap tahun bertambah dengan jumlah yang besar. Laporan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pula menunjukkan bahawa pertambahan jumlah kes perceraian ini meningkat sebanyak 2.3 kali ganda sejak tahun 2004 sehingga tahun 2014.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2016)

Hantar Maklum Balas