DARI KUALA LIPIS KE KUALA LUMPUR

Home » Nukilan Kreatif » Cerpen daripada Siswa » DARI KUALA LIPIS KE KUALA LUMPUR

Oleh Fauzan Zain

HATINYA terpikat untuk melanjutkan interaksi dengan pemanggil di gagang. Intonasi suara yang lembut dan tenang menyenangkan hatinya. Dia bangkit dari kerusinya dan beralih menuju ke sebatang pohon untuk meneruskan talian tanpa gangguan. Banir yang timbul di atas permukaan tanah mengalas punggungnya. Salam dijawab. Dia berharap panggilan ini tidak membawa khabar buruk.

Dia sekadar ketawa kecil tatkala mendengarnya. Bahunya terhenjut-henjut sedikit. Ekor matanya menjeling rakan di bawah dewan terbuka. Seketika talian diam. Dia tidak ingin berkata apa-apa lagi selain terus menerima dan mengesahkan kehadiran pada tarikh sekian. “Tidak mengapa, dia sanggup untuk melakukan apa-apa sahaja untuk hadir walaupun hari-hari depan mungkin menghalang, ” fikirnya.

Tubuhnya disandarkan pada batang pohon. Telefon bimbitnya diseluk kembali ke dalam poket. Kuah merah sardin yang tadinya melekat lembap di jemarinya tampak mengering. Aromanya menusuk seperti baru keluar dari tin. Semakin banyak pula yang beratur untuk membasuh pinggan dan cawan pada paip yang sebatang itu. Terpaksalah dia menunggu giliran panjang untuk mencuci tangan dan pinggan miliknya.

Dia keliru dan bagai tidak mahu meraikan perasaan gembira dengan khabar kejayaannya. Dalam hati, dia mempersoalkan cara karyanya itu dapat diangkat sebagai penerima hadiah. Dia teringat kembali proses penulisannya. Segalanya bermula daripada idea yang tidak seberapa dan biasa-biasa sahaja menurut pandangannya. Sewaktu menaip patah-patah perkataan itu, dia hanya berkain sarung dan tidak berbaju di bilik tidur.

Wajah manis rakan perempuan yang pernah ditemuinya tahun lalu di sebuah bengkel penulisan selama seminggu menjengah lagi. Setiap butir kata yang didengarnya masih basah dalam ingatan. Lewat malam itu, dia berjaya menoktahkan titik akhir sebuah cerpen. Cerpen pertama yang ditulisnya di bangku sekolah. Tidak pernah memikat guru bahasa Melayunya apalagi untuk memperoleh “A”. Dengan rasa malu yang dibuang jauh-jauh, cerpen itu disuakan kepadanya dengan kedua-dua mata terpejam.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2016)

 

Hantar Maklum Balas