PEMBELAJARAN KOMSAS DAN DUNIA KESUSASTERAAN NEGARA

Home » Khas » Isu Semasa » PEMBELAJARAN KOMSAS DAN DUNIA KESUSASTERAAN NEGARA

Oleh Salleh Hashim

AKRONIM KOMSAS itu sendiri hampir sahaja membuat kita terlupa tentang maksud asal istilah tersebut. KOMSAS ialah akronim untuk Komponen Sastera yang diajarkan sebagai sebahagian daripada sukatan pelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu di Malaysia. KOMSAS diperkenalkan pada tahun 1999. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menetapkan teks yang wajib dipelajari dan diuji dalam peperiksaan awam.

Pelaksanaan KOMSAS di sekolah dijalankan secara berperingkat-peringkat mulai Mac tahun 2000 bagi murid tingkatan satu dan empat, tahun 2001 bagi tingkatan dua dan lima, serta tahun 2002 bagi tingkatan lima. Dengan terlaksananya dasar ini, maka semua murid daripada tingkatan satu hingga tingkatan lima telah mendapat pendedahan asas mengenai sastera Melayu. Mulai 2015, teks KOMSAS sedia ada telah ditukar kepada teks yang baharu bermula dengan tingkatansatu dan empat, 2016 tingkatan dua dan lima, dan 2017 tingkatan tiga.

Setelah 17 tahun pelaksanaan KOMSAS, jelas kepada kita bahawa teks yang dipilih bagi kesemua genre merangkumi atau mencakupi pelbagai tema. Tema tersebut tentunya membawa kesan positif terhadap perkembangan mata pelajaran Bahasa Melayu itu sendiri, juga kepada remaja dan pelajar yang terlibat. Bahasa Melayu kini tidak terhad kepada penulisan karangan, tatabahasa dan pemahaman sahaja. Bahasa Melayu turut diperkukuh dengan aspek kesusasteraan yang dengan sendirinya mengangkatnya menjadi semakin mantap.

Kehadiran KOMSAS juga telah berjaya mengukuhkan dan meningkatkan minat membaca dalam kalangan remaja. Membaca dan mata pelajaran bahasa ibarat irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Pelajar sekurang-kurangnya dapat menikmati keseronokan dunia pembacaan apabila mereka menghayati pelbagai karya daripada pelbagai golongan penulis dari seluruh pelosok tanah air. Kasut Kelopak Jantung, Istana Menanti, dan Di Hadapan Pulau merupakan beberapa judul karya yang pasti menggamit minat membaca dalam kalangan remaja di sekolah. Selain itu, KOMSAS ternyata dapat menarik minat pelajar mengenal, menghayati, dan menghargai karya sastera bagi mengukuhkan kemahiran mendengar dan bertutur, membaca, dan menulis mereka.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2016)

Hantar Maklum Balas