Membongkar Potensi Seni Kreatif

Home » Fokus » Membongkar Potensi Seni Kreatif

Oleh DR. Sluhi Lamat

Setiap insan yang dilahirkan ke dunia dengan fitrah memiliki potensi diri. Fitrah hanya akan terserlah apabila seseorang individu berusaha keras mengetengahkannya atau dibimbing oleh orang lain. Hal ini bermakna seseorang perlu berusaha mengenal pasti kekuatan, kemampuan serta daya yang ada pada dirinya. Namun dengan mengenali ciri positif tersebut dalam diri belum mencukupi tanpa usaha untuk melakukan penggilapan serta pengukuhan yang berterusan sehingga mencapai tahap yang optimum. Di samping itu, bagi memastikan potensi diri senantiasa berada pada tahap optimum, usaha mengenal pasti kendala penghalang perlu dikenal pasti. Dengan berbuat demikian segala kekuatan dapat digembleng untuk menimbulkan tenaga penggerak yang utuh ke arah kejayaan. Pada masa yang sama seseorang individu akan senantiasa menyedari halangan yang dihadapi dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengatasinya.

Potensi diri bidang seni kreatif dalam kalangan remaja sudah mula diberi perhatian serius sejak akhir-akhir ini. Usaha ini bermula dengan penubuhan dua buah Sekolah Seni Malaysia, di Kuching dan Johor Bahru pada 2007. Penawaran bidang teater, tari, muzik dan seni visual kepada pelajar peringkat menengah di kedua-dua buah sekolah ini nyata menyerlahkan bakat dan potensi diri individu remaja. Prospektif yang positif ini dapat menonjolkan kemampuan yang tinggi dalam kalangan remaja untuk mendepani persaingan pada peringkat negeri, negara dan antarabangsa.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.

Hantar Maklum Balas