Anak Bertuah

Oleh Azharuddin Alias

UMI tahu tak, kakak dapat nombor 22 daripada 30 orang pelajar di dalam kelas? Dahlah kakak beajar dalam aliran Sains Tulen, kelas depan pula tu. Aduhai,” kata Zarif kepada umi.

“Betulkah kakak?” tanya umi. Ada nada kerisauan dalam kata-katanya. Kerisauan itu gambaran sikap seorang ibu yang bertanggungjawab.

Aku, yang tengah asyik menonton drama Korea, berpaling ke arah umi lalu menjawab; “Hmm, betul, umi. Kakak dah cuba melakukan usaha yang terbaik, tapi itu sajalah hasilnya.”

“Kakak kurang buat latihan dan ulang kaji pelajaran. Kakak mesti menumpukan perhatian semasa cikgu mengajar, barulah ilmu itu masuk. Bukankah sudah banyak kali umi cakap hal yang macam ini? Takkanlah umi nak cakap beribu-ribu kali lagi,” ujar umi.

“Kakak tu asyik tidur saja dalam kelas, umi. Hari itu adik tengok kakak tidur di dalam kelas waktu cikgu Sejarah mengajar,” kata Zarif lagi. Dia memang pandai mengadu, tetapi aduannya tepat dan berfakta. Zarif tidak melakukan fitnah pun. Dia bercakap jujur selalunya.

“Kakak tidur di dalam kelas? Bertuahnya anak umi,” kata umi dengan penuh kesal sambil memungut beberapa batang penyangkut baju yang bersepah di lantai.

“Kaka mengantuk sangat, umi. Fiza pun tidur juga. Menelaah,” katanya.

“Fiza dapat nombor dua di dalam kelas. Tak apalah dia tidur di dalam kelas pun. Dia dah pandai. Kakak sepatutnya berusaha lebih lagi. Inilah masa yang sesuai untuk kakak mengalahkan Fiza. Kakak akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini. Lakukan usaha yang terbaik. Pamerkan kesungguhan. Tumpukan perhatian. Jangan malas macam sekarang!” kata umi bertalu-talu seperti M-16 memuntahkan peluru ke arah ratusan musuh.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mei 2016)

Hantar Maklum Balas