Gen Mutasi Mengurangkan Tidur

Home » Saintifik » Misteri Dalam Sains » Gen Mutasi Mengurangkan Tidur

Oleh Nor Azida Ishak

MANUSIA selalunya tidak berupaya menahan kesan mengantuk yang menimpanya sebagai akibat kekurangan tidur. Apabila tubuh hanya mendapat separuh daripada jumlah tidur yang diperlukan (kebanyakan manusia memerlukan tujuh hingga lapan jam tidur sehari), maka selalunya kita harus memaksa diri berjaga, minum kafein, atau menelan pil amfetamina. Namun begitu, kebergantungan pada kafein dan amfetamina sangat tidak digalakkan kerana boleh meninggalkan kesan, seperti sakit kepala, lesu, marah-marah, gementar, dan ketagihan teruk sebaik-baik sahaja kita berhenti mengambilnya. Oleh itu, apakah rahsia sesetengah manusia yang mampu berjaga lama dan hanya memerlukan tidur sekitar empat hingga enam jam sehari?

Dalam uji kaji yang dijalankan untuk 100 pasangan kembar, saintis dari Pusat Genom Gunaan di Philadelphia, Amerika Syarikat, menemukan seorang lelaki¬† yang mempunyai gen BHLHE41 jenis varian yang disebut sebagai p.Tyr362. Pemilik gen varian ini hanya tidur selama lima jam sehari, manakala kembarnya yang tidak memiliki gen itu memerlukan tidur selama tujuh jam sehari. Jika mereka tidak tidur dalam 24 jam, pemilik gen mutasi itu hanya memerlukan tidur selama lapan jam sahaja untuk menggantikan “hutang tidur”, manakala kembarnya memerlukan tidur yang lebih lama, yakni sembilan setengah jam. Gen mutasi p.Tyr262 ini turut diberi gelaran “Thatcher” sebagai penghargaan kepada Perdana Menteri Britain Margaret Thatcher yang terkenal dengan kebolehannya untuk tidur selama empat jam sehari sahaja.

Kumpulan saintis yang diketuai oleh Ying-Hui Fu dari Universiti California, San Francisco, pula mengkaji pasangan ibu dan anak yang tidak memerlukan tidur yang lama dalam sehari. Ibu dan anak ini mendakwa bahawa mereka tidak pernah tidur melebihi enam jam sehari. Kedua-dua mereka didapati berkongsi gen termutasi yang dinamai DEC2.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mei 2016)

Hantar Maklum Balas