Memahami, Menghargai, Berempati

Home » Nukilan Kreatif » Ulasan Puisi » Memahami, Menghargai, Berempati

Oleh Mahaya Mohd. Yassin

SETIAP ungkapan yang terucap atau tercatat mestilah terolah daripada pertimbangan yang wajar, iaitu pemahaman akan sesuatu yang berlaku di seputar seseorang. Pemahaman tersebut menjurus kepada penzahiran penghargaan dan empati.

Puisi bulan ini jelas menggambarkan keprihatinan dan kecaknaan penulis akan isu yang dipilih. Isu keagamaan, pendidikan, kemanusiaan, dan alam sekitar disorot dengan terperincinya serta disimpulkan dengan jitu.

Sajak “Ghairah Anak Muda” melukiskan rasa simpati dan empati penulis remaja akan nasib rakannya yang masih leka dan alpa. Penulis berasa amat khuatir apabila remaja ghairah mengejar hal keduniaan. Penggunaan enam ayat tanya dalam sajak ini menarik. Sekali gus hal ini memberikan isyarat bahawa kes ini dianggap serius oleh penulisnya.

Mengapakah kehidupanmu ghairah ke sana ke mari?

Apakah yang kaukejarkan dalam hidupmu?

Siapakah lebih hebat?

Siapakah yang lebih berkuasa?

Apakah yang engkau puja-puja dalam dunia ini?

Apakah engkau menganggap sesuatu yang engkau miliki kekal lama?

Secara keseluruhannya, masih ada ruang untuk memantapkan sajak ini. Pengisian makna yang dikupas cantik dan akan menjadi lebih jelas apabila ungkapannya dipadatkan dan dipuitiskan. Namun begitu, pengakhiran setiap bait menyimpulkan nasihat. Hal sebegini amatlah baik.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mei 2016)

Hantar Maklum Balas