Penulis dan Pembaca Berlaga Bahu di Kota Iowa

Home » Khas » Khas Travelog » Penulis dan Pembaca Berlaga Bahu di Kota Iowa

Oleh Nisah Haron

SETELAH menjejaki beberapa buah Kota Sastera UNESCO dunia, penulis mendapati bahawa ada sesuatu yang unik bagi Kota Sastera Iowa City ini. Bagi Kota Sastera UNESCO, seperti Edinburgh, Melbourne, Dublin, Norwich dan Reykjavik, pengunjung akan dapat merasakan kewujudan suasana sastera itu melalui objek fizikal yang terdapat di bandar tersebut. Misalnya, bandar Edinburgh penuh dengan kedai buku, tugu penulis, muzium penulis, malah tempat duduk J.K. Rowlings di Elephat Cafe juga ditandakan sebagai “tempat kelahiran Harry Potter”.

Penulis mencari sesuatu yang seperti itu di Iowa City. Tidak banyak binaan yang mengabsahkan kewujudan Iowa City sebagai Kota Sastera. Amerika Syarikat sebagai negara yang relatif baharu berbanding dengan United Kingdom atau Iceland menyebabkan Iowa City mempunyai cara yang berbeza bagi menyatakan bahawa kota ini juga tidak kurang hebat berbanding dengan Kota Sastera yang lain. Kota ini tidak mempunyai tugu penulis, seperti Tugu Oscar Wilde di Merrion Square Park, Kota Sastera Dublin.

Setelah hampir 10 minggu penulis berada di Iowa City, dapat dilihat bahawa sastera merupakan cabang seni hidup dalam jiwa dan diri setiap individu yang berada di bandar ini. Selain kampus Universiti Iowa yang teranyam di dalam bandarnya, aktiviti sasteranya juga demikian. Kedai bukunya tidak banyak, tetapi berani menjual karya sastera. Karya popular dan ringan diletakkan di rak belakang. Pengunjung datang ke Iowa City kerana mahu menghadiri acara sastera atau mencari karya sastera.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Jun 2016)

Hantar Maklum Balas