Bahang “Kerapuhan” Sistem Semula Jadi

Home » Nota Editor » Bahang “Kerapuhan” Sistem Semula Jadi

PEMBANGUNAN pesat yang berlaku menjadi pemangkin pertumbuhan sosioekonomi penduduk. Tidak dinafikan bahawa setiap pembangunan yang berlaku pastinya akan memberikan kesan kepada kelestarian alam sekitar, sama ada di bandar ataupun desa. Pertalian antara pembangunan ekonomi dengan perubahan alam sekitar merupakan hubungan yang kompleks. Hal ini dikatakan demikian kerana hubungan ini melibatkan semua aspek kehidupan manusia yang secara langsung berinteraksi dengan alam sekitar.

Pada hakikatnya, alam sekitar amat penting kepada manusia. Alam sekitar bukan sekadar membekalkan manusia dengan keperluan asas kehidupan, seperti udara, air dan makanan, tetapi yang lebih penting, evolusi dan kelangsungan sistem hidup manusia itu sendiri bergantung pada alam sekitar. Pemilikan sumber alam yang banyak di sesebuah negara dapat menggambarkan taraf pembangunan negara tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana pembangunan ekonomi negara bergantung pada ketersediaan sumber alam sekitar. Banyak tamadun manusia pupus sebagai akibat kegagalan mendapatkan bekalan sumber alam sekitar secara berterusan dan dalam situasi tertentu, perubahan yang berlaku menjejaskan keupayaan manusia untuk membangunkan alam sekitar.

Pertambahan bekalan sumber alam yang lebih banyak diperlukan bagi menampung pertambahan bilangan penduduk. Namun begitu, sejak beberapa tahun belakangan ini, telah wujud beberapa masalah yang berkaitan dengan alam sekitar. Keadaan ini menyebabkan wujudnya impak terhadap alam sekitar dan kehidupan manusia sendiri. Sebagai contoh, kemerosotan kualiti alam sekitar memberikan kesan terhadap kesihatan, manakala kemerosotan kualiti sumber alam pula mengakibatkan ketidakamanan di sesebuah kawasan atau negara kerana sumber alam penting untuk kegunaan domestik dan juga sumber makanan. Setelah tersedar daripada bahang bahana ini, satu langkah drastik mula dijalankan.

Umum mengetahui bahawa Malaysia menjanakan 33 ribu tan sisa pepejal (dalam bentuk sampah) setiap hari dengan hanya 10.5 peratus yang dikitarkan semula, manakala selebihnya dilupuskan di tapak pelupusan. Faktor kadar kitar semula yang rendah berlaku kerana sikap rakyat yang tidak mengamalkan pengasingan sisa. Yang terbaharu, pengguna di Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, dan Kedah sudah menerima surat ingatan daripada syarikat konsesi pelupusan sisa pepejal di kawasan masing-masing untuk melakukan pengasingan sisa pepejal di “punca” (bukan hanya di rumah, tetapi juga di semua premis) dengan  menggunakan kaedah 2 + 1 ketika membuang sampah. Walau bagaimanapun, untuk tempoh empat bulan, iaitu sehingga akhir tahun ini, hanya notis peringatan diberikan kepada pengguna yang gagal melaksanakan arahan tersebut bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem baharu itu.

Kesedaran manusia untuk melindungi alam sekitar sangat penting. Lebih-lebih lagi, kesedaran ini akan menimbulkan sifat cinta akan alam dan kefahaman tentang “kerapuhan” sistem semula jadi yang akan berlaku jika diganggu oleh manusia dengan sesuka hati.

Haziah Che Husin

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Julai 2016)  

 

Hantar Maklum Balas