Kelestarian Alam Pemangkin Kehidupan Yang Kondusif

Home » Fokus » Kelestarian Alam Pemangkin Kehidupan Yang Kondusif

Oleh Azhar Salleh

TELAH sekian lama isu yang berkaitan dengan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar bergema di mandala perdebatan serta polemik yang tidak pernah bernoktah. Telah banyak seminar atau persidangan dilangsungkan dengan objektif untuk memastikan alam sekitar terus dilestarikan melalui amalan dan budaya yang memperlihatkan komitmen yang berterusan oleh semua pihak. Namun demikian, hal tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai suatu prakarsa yang cerlang memandangkan persekitaran yang kondusif untuk mewujudkan kesempurnaan kehidupan dalam kalangan masyarakat belum dapat direalisasikan sepenuhnya. Kaedah yang telah, sedang dan akan dilaksanakan sebaik-baiknya digembleng secara bersepadu, terancang dan bersistem. Tanpa kehijauan fikiran dan tekad, tidak mungkin bumi ini akan terus menghijau demi masa hadapan generasi yang akan datang. Ingatlah, kita tidak mewarisi keindahan dan kebersihan alam ini daripada nenek moyang, tetapi kita meminjamnya daripada generasi pada masa hadapan.

Pepatah Arab menegaskan bahawa “akal yang sihat terletak pada badan yang sihat”. Untuk mendapatkan akal fikiran yang sihat, kita mestilah mewujudkan suatu suasana yang kondusif untuk memastikan tubuh badan terus sihat dan segar. Kebersihan dan keindahan, dalam konteks perbincangan ini merangkumi semua aspek kerana menurut sebuah hadis Rasulullah SAW, “Kebersihan itu dapat mengajak manusia kepada iman. Sedang iman itu akan bersama pemiliknya ke syurga”. Demikianlah peringatan spiritual tentang betapa pentingnya kebersihan itu diberikan perhatian yang serius dan saksama kerana impaknya sangat besar kepada pengukuhan akidah seseorang.

 Agama Islam menganggap kebersihan itu sebahagian daripada keimanan. Inilah asas terpenting yang perlu terserap dalam sanubari dan atma seseorang insan. Walau bagaimanapun, hal ini tidak mudah untuk dihayati walaupun agama telah menggariskan asas yang begitu kukuh mengenai konsep alam terutamanya menerusi sains kosmologi. Perspektif Islam yang berdasarkan ajaran tauhid telah memperincikan kedudukan dan peranan insan sebagai khalifah yang perlu memakmurkan bumi, selaras dengan firman Allah SWT dalam kitab suci al-Quran. Allah SWT telah mencipta sifat manusia secara alamiahnya begitu akrab dan intim dengan alam sekitar yang memenuhi ciri-ciri mizan (imbangan) dan tawazun (keseimbangan). Dalam pembangunan tamadun Islam, aktiviti pembangunan dilaksanakan dengan mengambil kira kewujudan sistem alam sekitar yang saling berhubungan, terutamanya antara manusia dengan alam sekitar. Keseimbangan seperti ini dapat dikekalkan sekiranya aktiviti pembangunan tidak melewati batas tertentu dan sistem keseimbangan itu sendiri dibentuk menerusi elemen keharmonian, saling melengkapi, ketertiban, rasa hormat dan kasih sayang.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Julai 2016)

 

Hantar Maklum Balas