Kerana Dia Seorang Ayah

Home » Nukilan Kreatif » Cerpen daripada Siswa » Kerana Dia Seorang Ayah

Oleh Siti Noraien Razali

AYAH, kenapa ayah bekerja kuat?” tanya budak comel  bertocang dua dan berbaju kurung hijau. Misai lelaki itu diusap-usap bagai mahu dirapikan. Rimas barangkali. Lelaki itu hanya tersenyum melihat gelagat budak perempuan yang hampir mencecah enam tahun usianya.

“Ayah kenalah bekerja kuat. Nak membesarkan anak ayah. Nak beri anak ayah hidup selesa. Nak beri mak kamu kesenangan. Itu tugas ayah, nak. Tanggungjawab sebagai ayah,” jawab lelaki itu. Budak perempuan itu hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Mungkin memahami patah perkataan lelaki dihadapannya itu.

Syuhada terjaga daripada lamunannya. Kenangan sewaktu kecil menggamit kembali dalam benak fikirannya. Kenangan silam yang manis, yang tidak mampu diulang kembali.

“Ayah …,” panggilan keramat itu terluah juga akhirnya. Bola mata Syuhada memandang tepat pada sebujur tubuh yang sedang terbaring di katil hospital. Wayar penuh berselirat dipasang pada badan lelaki di hadapannya itu. Sayu benar hatinya melihat tubuh lelaki yang sangat disayanginya itu dibuat sebegitu rupa. Syuhada melangkah lemah menuju ke katil tersebut. Ditenung dalam-dalam wajah ayah. Urat tua yang timbul di tangan ayahnya kelihatan. Tangan inilah yang membesarkannya. Ya, tangan ini juga digunakan untuk mencari rezeki. Siang malam membanting tulang demi membesarkan anaknya.

“Ayah … adik rindu akan ayah. Bangunlah ayah. Adik rindu nak bercerita dengan ayah. Adik rindu nak menatap mata ayah. Adik rindu nak mendengar suara ayah. Bangunlah ayah,” rayu Syuhada sayu.  Tidak kuat rasanya melihat keadaan ayahnya itu. Rindu benar hatinya ingin berbicara dengan ayah. Kalau boleh diundurkan waktu, ingin sahaja dia mendakap tubuh lelaki tua itu. Ingin sahaja dia berada 24 jam di sisi ayah. Berbual sampai penat dengan ayah. Tidak mahu berpisah daripada ayahnya. Namun demikian, apakan daya? Takdir ditentukan oleh Yang Di Atas Sana. Dia reda dengan semua ini.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Julai 2016)

Hantar Maklum Balas