Kosong Pengetahuan Semangat Patriotisme

Home » Fokus » Kosong Pengetahuan Semangat Patriotisme

Oleh Nik Mohd. Iznan Tuan Yaakub

NASIONALISME dan patriotisme membawa konotasi yang berbeza. Nasionalisme lebih kepada konsep membebaskan negara atau ekonomi daripada cengkaman kuasa asing. Patriotisme pula berasal daripada  perkataan patriot, iaitu mencintai negara serta sanggup mempertahankannya. Kamus Dewan Edisi Keempat menyatakan bahawa patriot bermaksud orang yang mencintai dan mempertahankan kedaulatan negaranya. Perjuangan Dol Said, Dato’ Maharajalela, Tuk Janggut, Tuk Gajah, Mat Kilau, Haji Abdul Rahman Limbong, Rosli Dhoby, Mat Salleh, dan Datuk Bahaman merupakan cetusan semangat nasionalisme dan patriotisme yang sangat kukuh dalam diri. Selepas Tanah Melayu diisytiharkan merdeka pada 31 Ogos 1957, tugas mempertahankan dan mengekalkan kedaulatan negara seharusnya menjadi tanggungjawab setiap rakyat.

Amatlah malang sekiranya selepas 59 tahun mencapai kemerdekaan, pengetahuan tentang semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia masih kosong. Sesetengah masyarakat kini hanya mengetahui 31 Ogos sebagai Hari Kebangsaan, manakala 16 September pula hanya sekadar Hari Malaysia. Tidak banyak remaja dan golongan muda yang faham dan cuba meresapi apa-apa falsafah di sebalik tarikh keramat ini. Yang lebih menyayat hati, mereka hanya tahu bahawa dua tarikh ini sekadar hari cuti umum. Pengetahuan semangat patriotisme bukan sekadar pengzahiran secara luaran, sebaliknya perlu didukung dengan aspek minda, jiwa dan emosi.

Semangat patriotisme perlu terus diterapkan dalam kalangan rakyat Malaysia supaya sejarah hitam negara tidak berulang. Kehebatan negara maju dunia, seperti Amerika Syarikat, Jepun, Perancis dan China, terletak pada semangat patriotisme yang tinggi dalam diri rakyatnya. Biro Tatanegara  (BTN) pernah menjalankan kajian  terhadap 1200 orang responden untuk mengukur indeks patriotisme. Dapatan kajian mendapati bahawa skor yang diperoleh sangat rendah, iaitu purata 3.8. Walaupun bilangan responden belum tentu boleh mewakili seluruh rakyat Malaysia, dapatan kajian ini sudah pasti sangat memeranjatkan sedangkan Indeks Patriotisme Negara sangat penting untuk mengukur perasaan cinta akan tanah air.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Ogos 2016)

Hantar Maklum Balas