Fitrah berbeza

Oleh Khadijah Khalilah Abdul Rashid

Atiq melipat kemas selimutnya. Rakan-rakan lain ada yang sudah bangun, ada yang belum. Bukhari yang berada di sebelah katil Atiq masih lagi diulit selimut. Atiq terus ke bilik air dan sebelum itu sempat menggerakkan Bukhari yang masih lena dalam tidur.

“Aku menyesal tidak bangun pagi tadilah, Atiq.” Bukhari mengeluh kesal sewaktu rehat tengah hari itu. Matanya tertancap ke luar melalui tingkap kelas Tingkatan 1 Uhud. Sinaran matahari terlalu terik walaupun berada di bawah bumbung kelas.

“Lain kali, apabila ada orang kejut engkau bangun sahur, terus tarik baldi bukannya tarik selimut. Ustaz Azfar selalu berpesan bahawa ada keberkatan kalau kita bersahur.” Atiq mengingatkan Bukhari yang sedang mencapai buku teks dan disusun di atas meja untuk diletakkan kepalanya.

“Aku ingat hendak ambil keberkatan melewatkan waktu sahur, tidak sangka pula terlewat sampai pukul 6.30 pagi. Sudahnya, sahur tidak dapat, solat Subuh pula masbuk.” Makin berganda kesal Bukhari.

Suasana dewan makan masih lagi terkawal walaupun jam menunjukkan enam petang. Makanan telah disediakan di atas meja hidang dan para pelajar sedang mempersiapkan diri untuk iftar dan berjemaah Maghrib di surau. Ternyata tarbiah iftar dengan tamar dan sedikit kuih-muih dapat mereka praktik. Makanan berat untuk iftar hanya akan dinikmati setelah selesai menunaikan fardu Maghrib.

Keadaan surau dua tingkat itu agak riuh-rendah seusai solat tarawih lapan rakaat. Tiba-tiba, kelibat Ustaz Azfar kelihatan di pintu surau sebelah kanan. Hanya sekilas pandangannya melewati puluhan anak muda dalam ruang solat, semua bagaikan hilang kata. Dahulu pasar, kini betul-betul sebuah majlis ilmu dan ternyata kehadiran ustaz bersusuk tegap itu mampu mendiamkan semua mulut pelajarnya.

___

Cerita ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.

Hantar Maklum Balas