Sejahtera Negara dan Rakyat Malaysia

Home » Nota Editor » Sejahtera Negara dan Rakyat Malaysia

MENJELANG bulan merdeka, empunya premis akan membongkar almari, membuka semula kotak lama, mencari semula bendera tahun-tahun sebelumnya untuk digunakan semula bagi mengimarahkan lagi bulan mengingati pembebasan negara daripada kuasa yang mendominasi. Maka, akan cantiklah deretan kedai dengan kibaran bendera yang garang warnanya, malah rumah juga akan turut serta menaikkan bendera setinggi yang mungkin untuk sama-sama menyambut merdeka. Namun begitu, adakah tingginya bendera yang dijulang menggunakan batang kayu itu dapat diukur dengan pemahaman isi rumah terhadap pengetahuan semangat nasionalisme? Adakah penjulang yang menaikkan bendera di deretan kedai itu memahami semangat yang terkandung dalam jeritan merdeka mereka saban tahun?

Menyambut bulan kemerdekaan bukan sekadar sambutan kemerdekaan, tetapi mengisi kemerdekaan itu jauh lebih penting. Yang lebih penting lagi, generasi muda memahami erti sebenar kemerdekaan yang diperjuangkan dengan susah payah. Kemerdekaan bukanlah takdir semata-mata, tetapi kemerdekaan terhasil daripada usaha pejuang dan pemimpin terdahulu.

Jika pejuang dahulu bangkit berjuang, generasi muda hari ini pula disarankan untuk memahami bahawa kemerdekaan bukan bebas daripada cengkaman penjajah semata-mata, malah kebebasan minda daripada terpengaruh dengan anasir luar yang mahu melihat berlakunya perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Kemerdekaan telah mengangkat maruah dan kedaulatan negara. Kemerdekaan ialah sesuatu yang tidak boleh dijual beli. Keselamatan, maruah, dan kedaulatan negara bukan sahaja dipikul oleh anggota keselamatan, tetapi turut dipikul bersama-sama oleh seluruh rakyat.

Pada tahun ini, “Sehati Sejiwa” dipilih menjadi tema hari kebangsaan seperti tahun sebelumnya yang mencerminkan roh kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat Malaysia. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, marilah kita bersama-sama menjaga maruah serta kedaulatan negara. Sematkan juga dalam diri semangat cinta akan negara serta sentiasa menjaga dan menjulang nama baik Malaysia walau di mana-mana kita berada. Jangan sesekali membiarkan diri kita kosong dengan semangat patriotisme.

Walau apa-apa pun ideologi politik yang dijunjung, walau apa-apa sahaja bangsa dan agama yang kita anuti, negara kita tetap tanggungjawab bersama. Jangan sesekali memusnahkan negara tercinta. Untuk membina negara memerlukan puluhan tahun lamanya, namun untuk memusnahkannya cukup sekadar sekelip mata. Untuk memajukan negara amatlah sukar, namun untuk membinasakannya amatlah mudah.

Hargailah keamanan dan kemakmuran yang telah kita kecapi. Pelajari dan fahami sejarah kerana melalui sejarahlah kita akan benar-benar menghargai negara dan kemerdekaan negara. Jelmakan kembali semangat perjuangan pemimpin terdahulu. Bersatulah kita dengan semangat kemerdekaan melalui cara pemikiran bijaksana dan minda kelas pertama untuk masa hadapan yang lebih cemerlang dan terbilang. Inilah nikmat yang perlu sentiasa ada dalam diri setiap warganegara.

Jadilah warga Malaysia yang merdeka. Hayatilah erti kemerdekaan dan kekalkan kemerdekaan ini.

Selamat Hari Kebangsaan 2016.

Haziah Che Husin

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Ogos 2016)

Hantar Maklum Balas