Nikmati Keseronokan Pada Landasan Yang Betul

Home » Nota Editor » Nikmati Keseronokan Pada Landasan Yang Betul

KELUARGA moden hari ini mempunyai pelbagai kemudahan sosial dan budaya yang disalurkan, termasuklah melalui televisyen, majalah, buku cerita, telefon bimbit dan internet. Kemudahan ini bukan sekadar saluran maklumat bagi memperoleh hiburan dan pengetahuan, tetapi juga mencorakkan pelbagai tingkah laku sosial, budaya, perkembangan personaliti, dan pemerkasaan kendiri individu sama ada ke arah negatif ataupun sebaliknya. Hal sebegini banyak terjadi kepada remaja yang masih dangkal pemikirannya, mereka ini cuai dalam aspek menguruskan pergaulan dan persekitaran.

Jika dipandang dari sisi negatif, hal sebegini akan menjadikan institusi keluarga dalam masyarakat tidak lagi penting kepada ahlinya. Interaksi antara keluarga bukan lagi menyeronokkan. Ahli keluarga, khususnya remaja, akan lebih selesa berada di luar rumah berbanding dengan berada di rumah, seolah-olah berada di luar rumah lebih bebas. Sebagai akibatnya, pelbagai godaan aktiviti tidak sihat bermaharajalela.

Masihkah kita ingat akan peristiwa gempar yang berlaku pada Januari 2016 apabila seorang remaja mendakwa telah diculik ketika keluar dari rumah? Setelah penyiasatan dibuat, remaja itu mengakui bahawa cerita penculikan itu sengaja direka untuk membolehkannya menghabiskan masa bersama-sama teman lelakinya. Adakah ini yang kita dambakan buat genarasi anak bangsa. Oleh itu, pandangan masyarakat terhadap isu ini perlu berubah.

Usia remaja merupakan tempoh usia yang masih memerlukan bimbingan daripada orang dewasa. Orang dewasa yang paling penting dalam kehidupan remaja ialah ibu bapa atau penjaga. Apa-apa sahaja yang dilakukan oleh remaja di rumah ataupun di luar rumah sepatutnya dimaklumkan oleh ibu bapa atau penjaga.

Bagi remaja, hubungan yang baik dengan anggota keluarga merupakan perkara paling penting yang perlu dilakukan. Bukan menjadi kesalahan bagi remaja untuk menikmati keseronokan di luar rumah, namun keseronokan itu perlu ditunjangi nilai agama, adat, serta norma masyarakat setempat. Remaja perlu sentiasa sedar bahawa keseronokan yang sebenar adalah apabila mampu menjaga usia remaja yang dimiliki itu sebaik-baiknya untuk keseronokan pada waktu dewasa kelak. Kejayaan pada masa hadapan ialah usaha yang kita lakukan pada hari ini, iaitu pada usia remaja kita.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh penyelidik sosial, peratusan berlaku perkara yang tidak diingini jauh lebih tinggi bagi remaja yang berada di luar rumah berbanding dengan remaja yang sering berada di rumah. Hal ini bermakna bahawa remaja yang mencari keseronokan di luar rumah akan terdedah kepada risiko terlibat dengan aktiviti yang tidak terkawal dan berbahaya kepada keselamatan diri mereka.

Kebanyakan remaja yang gemar memilih untuk mencari keseronokan di luar rumah merupakan remaja yang bermasalah di rumah. Apabila mereka berkumpul, maka akan ada aktiviti yang akan menimbulkan masalah walaupun pada mulanya mereka melakukan aktiviti tersebut sekadar melepaskan “geram” bagi meredakan masalah mereka di rumah.

Selamat Hari Malaysia.

Haziah Che Husin

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa September 2016)

 

Hantar Maklum Balas