Godaan Keseronokan Remaja di Luar Rumah

Home » Fokus » Godaan Keseronokan Remaja di Luar Rumah

Oleh Noor Azam Abdul Rahman

MENCARI keseronokan di luar rumah merupakan salah satu pilihan popular dalam kalangan remaja apabila keadaan di dalam rumah tidak lagi memberikan jaminan keseronokan kepada mereka. Situasi seperti ini boleh mengakibatkan implikasi yang besar terhadap pembentukan sebuah keluarga harmoni dan bahagia, yang menjadi idaman setiap individu dan matlamat negara yang maju. Kebahagiaan keluarga dalam komuniti masyarakat dan negara menjadi lebih penting dalam proses kemajuan negara. Tambahan pula, Malaysia kini dalam usaha untuk muncul sebagai negara maju yang bukan sahaja hebat teknologinya, malah seiring dengan institusi keluarga juga kukuh dan terpelihara.

Keseronokan bermakna keadaan yang menjadikan seseorang itu sanggup melakukan apa-apa sahaja bagi memenuhi hasratnya untuk mencapai kegembiraan, rasa suka dan seronok. Dalam konteks remaja, keseronokan merupakan perkara yang biasa dilakukan oleh mereka, sama ada semasa bersama-sama keluarga, rakan sebaya ataupun ahli masyarakat yang lain. Semasa pertemuan tersebut, akan ada pelbagai aktiviti yang membuatkan mereka gembira. Hal ini berbentuk subjektif kerana rasa gembira seseorang itu berbeza antara satu dengan yang lain. Biasanya remaja mempunyai nilai kegembiraan yang hampir sama dalam lingkungan usia yang sama. Remaja seronok melakukan perkara yang akan menarik perhatian orang lain, yang akan memberikan nilai tambah kepada penampilan dan harga diri mereka.

Pakar psikologi menjelaskan bahawa setiap remaja, sama ada lelaki ataupun perempuan, amat memerlukan perhatian daripada orang di sekeliling mereka. Remaja lelaki biasanya memerlukan kasih sayang dalam bentuk perkongsian. Mereka lebih seronok berbincang dan berbual tentang perkara yang disukai. Sebagai contohnya, hobi dan kecenderungan mereka. Remaja perempuan pula memerlukan perhatian dalam bentuk komunikasi yang lembut dan penuh kasih sayang. Remaja perempuan ingin akan orang yang rapat dengan mereka mengetahui apa-apa yang diinginkan. Ibu bapa dan penjaga, khususnya, perlu sentiasa memastikan remaja perempuan mendapat belaian kasih sayang dalam bentuk komunikasi yang baik, termasuklah perbincangan tentang hal peribadi, perasaan dan emosi mereka.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa September 2016)

Hantar Maklum Balas