Hiburan dan Keseronokan Tidak Salah Dinikmati

Home » Fokus » Hiburan dan Keseronokan Tidak Salah Dinikmati

Oleh Noraziah Mohd Amin

LAPORAN akhbar Berita Harian pada 29 Oktober 2015 memetik kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, yang mendedahkan bahawa terdapat purata sebanyak 18 ribu orang remaja hamil yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan kerajaan setiap tahun dengan kira-kira 4500 kes melibatkan remaja yang mengandung anak luar nikah. Beliau turut menyatakan bahawa purata sebanyak 1500 kes remaja hamil direkodkan setiap bulan dengan 50 kes dicatatkan setiap hari di seluruh Malaysia. Hal ini jelas menunjukkan bahawa keruntuhan akhlak dan masalah sosial remaja kini semakin membimbangkan yang berpunca daripada keseronokan di luar rumah. Oleh yang demikian, usaha untuk membendung tumpuan remaja kepada keseronokan yang diperoleh melalui aktiviti negatif di luar rumah perlu dilaksanakan oleh pelbagai pihak, termasuk diri remaja sendiri.

Langkah mengekang perlakuan bebas remaja dalam mencari keseronokan di luar rumah perlu mengambil kira faktor yang mempengaruhi remaja untuk bertindak sedemikian. Antara punca yang menjerumuskan remaja ke kancah keseronokan yang dinikmati daripada hubungan bebas termasuklah kurangnya kasih sayang dan perhatian yang diterima daripada ibu bapa mereka. Dalam menempuh usia remaja, golongan ini memerlukan perhatian yang secukupnya dan perlu didekati dengan bijaknya agar mereka tidak berasa kesunyian serta tidak dipedulikan. Kematangan fikiran yang masih belum dicapai sepenuhnya oleh mereka menjadikan mereka mudah terpedaya dengan pujuk rayu dan tipu daya orang yang ingin mengambil kesempatan terhadap mereka.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa September 2016)

Hantar Maklum Balas