Menyunting Kelainan, Mengimbang Perasaan

Home » Nukilan Kreatif » Ulasan Puisi » Menyunting Kelainan, Mengimbang Perasaan

oleh MAHAYA MOHD. YASSIN

DALAM keluaran terakhir tahun ini, kita berpeluang menatap lapan buah sajak yang dihasilkan oleh pelajar pilihan yang menyertai Program Perkampungan Penyajak Muda Peringkat Negeri Sembilan 2011. Program yang melibatkan 106 calon dari 102 buah sekolah menengah itu berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Undang Abdul Manap, Johol, Negeri Sembilan, pada 23 hingga 25 September yang lalu.
Kelapan-lapan kuntum sajak ini menyimpulkan keprihatinan penyajak muda terhadap persekitaran yang mewarnai kehidupan mereka. Sebagai perakam peristiwa dan cita rasa, penyajak turut mengemukakan kelainan dengan gaya yang tersendiri.
Sajak “Hidup” yang mengisahkan perjuangan untuk mencapai kejayaan memang biasa. Namun, sajak mudah ini memetik sebuah peribahasa Cina sebagai pengenalan yang cantik. Cara ini jarang-jarang dilakukan oleh penyajak muda yang lain.
Halia tua pedas rasanya bermaksud semakin dewasa seseorang itu, semakin banyak ilmu, pengalaman dan jasanya. Pengenalan ini seperti mengingatkan kita bahawa mereka yang seperti ini mestilah diutamakan dan dihargai. Sajak ini terasa amat istimewa kerana penyajaknya turut melakarkan dialog warga emas yang memerlukan perhatian. Tanpa disertai tanda baca pengikat kata, rangkap kedua sesungguhnya menggambarkan rayuan tersebut.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Disember 2011.

Hantar Maklum Balas