Balai Perlepasan

Home » Nukilan Kreatif » Cerpen daripada Siswa » Balai Perlepasan

Oleh Syeeda Koppeli

RUANG balai perlepasan sesak dan padat dengan manusia. Pelbagai aksi dapat ditonton. Ada yang berlari-lari anak menggalas beg sandang besar, ada yang lenggang kangkung menolak troli yang sarat dengan beg, cenderamata, hatta anak mereka turut diletakkan di dalam troli. Zarith berdiri di tengah-tengah lautan manusia, betul-betul menghadap skrin yang sedang memaparkan jadual penerbangan. Beg sandang berwarna kelabu jenama Karrimor, yang digalas, dirasakan berat benar, seperti mahu patah bahunya. Perlahan-lahan dia berjalan menuju ke arah balai perlepasan. Air muka gadis berusia 18  tahun ini keruh. Rambut panjang berwarna perang semula jadi dilepas bebas tidak disikat. Ini kali pertama dia menaiki kapal terbang, namun dia tidak kekok langsung. Dia sudah lali melakukan semua perkara sendiri, bahkan dia akan kekok jika berteman ketika melaksanakan sebarang tugasan.

Lelah rasanya berjalan sejauh ini untuk sampai ke balai perlepasan K. Zarith melabuhkan punggung di atas kerusi yang disediakan di hadapan balai perlepasan. Kemudahan, seperti tempat untuk mengecas alat elektronik, tandas yang bersih, dan kerusi yang tersusun rapi, jelas menunjukkan penerbangan ini mesra pelanggan walaupun mengenakan tambang yang murah dan rendah kepada pengguna. Kemudahan asas, termasuklah tempat duduk, juga disediakan dalam variasi yang menarik dan mementingkan keselesaan, sama ada untuk keluarga atau individu. Beberapa orang remaja duduk sekelompok di hadapan tempat mengecas alat elektronik mereka. Pandangan Zarith dan mereka berlaga. Zarith melemparkan sekuntum senyuman. Satu lagi sebelum kehidupannya akan berubah. Air muka yang keruh tadi perlahan-lahan berubah tona. Otaknya berputar ligat, sekali gus memberikan sedikit tekanan yang menyebabkan pening.

“Bidang peragaan ini tidak akan sesekali menjamin masa depan kamu. Satu hari nanti, kamu akan tua, tiada sesiapa akan mengambil kamu bekerja,” laju tangan tua ayahnya memangkas pokok bunga raya yang ditanam di hadapan rumah mereka. Urat hijau berselirat sudah mula timbul membuktikan ayahnya itu sudah bekerja terlalu keras untuk membesarkan mereka adik-beradik. Pokok bunga raya itu ditanam sejajar untuk dijadikan pagar. Kreatif dan menjimatkan wang.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Oktober 2016)

Hantar Maklum Balas