New Orleans Kota Jaz, Jambalaya dan Gumbo

Home » Khas » Khas Travelog » New Orleans Kota Jaz, Jambalaya dan Gumbo

Oleh Nisah Haron

BANDAR Raya New Orleans, sebagai ibu negeri Louisiana, mempunyai sejarah yang panjang. Bandar ini pernah menjadi bandar raya ketiga penting di Amerika Syarikat lantaran kedudukannya di siku Sungai Mississippi dan berada dalam pelukan Teluk Mexico. New Orleans amat sinonim dengan muzik jaz. Kunjungan ke New Orleans tidak akan lengkap jika pengunjung tidak mendengar persembahan jaz, sama ada yang dimainkan di tempat tertutup ataupun persembahan jalanan.

Pintu masuk ke bandar raya ini melalui udara ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Louis Armstrong. Nama ini tidak asing lagi bagi peminat jaz-penyanyi dan pemain trompet yang terkenal dengan lagu What A Wonderful World. Nama beliau diabadikan pada lapangan terbang ini pada tahun 2012 sebagai memperingati ulang tahun kelahirannya yang ke-100.

Nuansa Perancis amat terasa di sini, sesuai pada seni bina di kawasan yang dinamai “French Quarter”. Sekali pandang memang berasa seolah-olah berada di lorong seni di Paris. Kawasan French Quarter lebih sesuai diteroka dengan berjalan kaki lantaran lorongnya sempit dan mempunyai banyak kedai menjual barangan seni, termasuklah di kawasan kaki limanya.

Sewajarnya, mulakan dengan bersarapan di Cafe’ du Monde yang terkenal dengan cafe’au lait and beignets. Cafe au lait bermaksud  kopi susu dan beignet (sebutannya bi-nya) pula lembut seperti donat, cuma bentuknya empat segi dan tidak ada lubang di tengah-tengahnya. Beignets dihidangkan dengan serbuk gula di atasnya. Kafe ini dibuka 24 jam sehari dan tidak pernah ditutup.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Oktober 2016)

Hantar Maklum Balas