Hobi Harus Dikembangkan

Home » Nota Editor » Hobi Harus Dikembangkan

 

SETIAP manusia mempunyai hobi tersendiri bagi memenuhi minat dan mendapat keseronokan. Ada hobi yang percuma dan ada pula yang memerlukan perbelanjaan. Aktiviti riadah ini akan mendatangkan kesan yang mendalam kerana hobi memastikan masa seseorang itu digunakan sebaik-baiknya untuk belajar, keluarga, berhibur dan beriadah. Hobi mampu memberikan kepuasan dan ketenangan jiwa kepada individu. Hobi tidak boleh dipaksa, tidak boleh dijual beli, dan tidak boleh diwariskan.

Sejak kecil kita sering diajukan soalan, “apakah hobi anda?” Jika dahulu, sekiranya diri kita diajukan soalan hobi, banyak yang akan menjawab jawapan yang biasa-biasa kita dengar termasuklah bermain bola sepak, memancing dan membaca. Berbanding dengan masa kini, hobi generasi muda kian berubah. Fenomena hobi generasi muda semakin bertukar. Kegilaan kepada hobi yang bersesuaian dengan zaman, masa dan tempat menjadi-jadi, malah terdapat hobi yang pelik untuk kita dengari. Tidak ketinggalan hobi bertukar kepada melakukan hal yang ekstrem.

Jarang-jarang seseorang ingin mengaku tentang hobi mereka yang kedengaran pelik. Mereka bimbang dilabelkan sebagai ketinggalan zaman, kolot, ataupun tidak mengikut arus pemodenan. Walaupun kelihatan pelik, namun, selagi aktiviti tersebut memberikan kepuasan kepada diri, maka itulah hobi mereka dan itulah yang akan kekal lama dan mendominasi hampir keseluruhan hidup mereka.

Tahukah anda, hobi pelik dan unik turut dilakukan artis terkenal dunia, antaranya termasuklah Johny Depp. Johny Depp yang berwajah tampan dan maskulin ini gemar mengumpulkan patung barbie dan kumis palsu yang unik dan lucu. Kumis palsu yang dimiliki Johny Depp ini dianggap aneh dan dipakai secara berganti-ganti semasa bertemu dengan peminatnya. Seseorang yang mempunyai hobi pelik tidak perlu malu untuk meyatakan hobi mereka selagi hobi itu tidak memudaratkan diri ataupun orang lain.

Pada masa dahulu hobi dapat dilakukan dengan mudah melalui komunikasi yang ringkas. Sebagai contoh, pada tahun 1950-an hingga 1980-an, merakamkan lagu dari radio dengan perakam suara, bermain lompat tali, galah panjang, jengket, gasing, dan guli yang setiap hari akrab dengan kehidupan anak muda. Inilah generasi yang pernah mempunyai kelompok dan rakan hobi yang sama, yang tanpa janji, tanpa telefon atau teks pesanan ringkas, tetapi boleh berkumpul bersama-sama kerana inilah generasi yang cukup hanya dengan janji untuk bertemu. Berbeza daripada hobi generasi masa kini yang menikmati mudahnya memuat turun lagu dari alat teknologi sekali gus jari lincah memainkan berbagai-bagai permainan di alat teknologi. Jika dahulu kita harus bertemu untuk berbual bersama-sama rakan, namun kini kita pun tetap boleh berborak cuma bezanya hanya pada tempat iaitu, di laman Facebook mahupun WhatsApp tanpa mengharapkan datangnya posmen menyampaikan surat daripada sahabat.

Setiap individu pada era milenium ini pasti mempunyai jadual waktu yang padat untuk bersaing dalam mencapai matlamat. Namun begitu, masyarakat juga perlu sedar bahawa diri kita ini juga memerlukan rehat untuk menghilangkan tekanan. Adakalanya kita tidak mempunyai banyak masa untuk hobi kerana terlalu sibuk berkerjaya, tetapi ada juga yang terlupa melakukan kerja lain melainkan kerja berkaitan dengan hobinya. Hobi yang berlebihan akan membazirkan wang dan juga masa yang banyak.

Oleh itu, hobi harus dimiliki oleh semua orang tanpa mengira usia, pangkat atau asal usul. Aktiviti positif ini akan memberikan banyak kesan baik kepada individu dalam aspek kesihatan mental dan fizikal. Kehidupan kita juga akan menjadi lebih bermakna dan menarik untuk diteruskan dari hari ke hari. Selamat menyambut Maal Hijrah 1438.

Haziah Che Husin

(Rencana ini dipetik daripada  majalah Dewan Siswa Oktober 2016)

 

Hantar Maklum Balas